Yamaha XMAX 300 Tech MAX 2021 untuk pasaran Eropah tampil lebih mewah dan sporty

Model skuter maxi terbaharu Yamaha XMAX 300 2021 telah pun ditawarkan di pasaran Eropah bermula bulan Februari 2021 ini. Pada masa yang sama selain daripada model standard, Yamaha Motor Europe turut memperkenalkan versi lebih mewah dan sporty iaitu Yamaha XMAX 300 Tech MAX 2021, dengan tambahan ciri-ciri yang menarik.

Antaranya ialah tempat duduk yang lebih mewah dengan jahitan berwarna, pelapik di bahagian dalaman yang mewah dengan jahitan berwarna yang sepadan, pemijak kaki yang melalui proses anodizing, didatangkan dengan emblem Tech MAX, penutup atau cover fork depan dengan grafik frost silver dan hujung pemegang Gilles Tooling baharu.

Yamaha XMAX 300 Tech MAX 2021 juga didatangkan dengan pilihan warna premium baharu iaitu Power Grey, di samping warna sedia ada Tech Kamo. Seperti mana model standard, versi Tech MAX tersebut juga kini dilengkapi enjin 292cc yang bertaraf Euro 5, dengan kuasa maksimum 27.6hp @ 7,250rpm dan tork maksimum 29Nm @ 5,750rpm.