Yamaha XMAX 300 2021 di pasaran Eropah kini bertaraf Euro 5, terima pilihan warna terbaharu

Skuter maxi Yamaha XMAX 300 2021 kini telah ditawarkan di pasaran Eropah bermula bulan Februari ini. Berbanding model tahun sebelumnya, XMAX 300 kini dilengkapi enjin yang patuh piawaian Euro 5 yang lebih bersih dan mesra alam, serta ditawarkan dengan pilihan warna terbaharu Icon Grey di samping warna terdahulu Sonic Grey.

Yamaha XMAX 300 2021 dilengkapi enjin bersesaran 292cc (4-valves, 4-stroke, single cylinder, liquid-cooled, SOHC), dengan kuasa maksimum 27.6hp @ 7,250rpm dan tork maksimum 29Nm @ 5,750rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi automatik V-Belt. Tahap ekonomi purata enjin tersebut kini dikatakan meningkat sehingga 6 peratus.

Di bahagian suspensi, XMAX 300 menggunakan fork depan daripada jenis yang digunakan oleh motosikal, untuk tahap pengendalian yang lebih baik dan tunggangan yang lebih selesa. Sistem breknya dilengkapi ABS, dengan cakera brek depannya hadir dalam diameter 267 mm dan cakera brek belakang dengan diameter 245 mm.

Yamaha XMAX 300 seterusnya dilengkapi roda depan dalam siri 120/70-R15 dan roda belakang dalam siri 140/70-R14, yang menawarkan tahap kestabilan tertinggi dalam semua situasi tunggangan. Spesifikasi lain termasuklah tangki bahan api dengan kapasiti penuh 13 liter, ketinggian tempat duduk 795 mm dan berat 180 kg (wet weight).

Ciri-ciri menarik dan praktikal yang melengkapi Yamaha XMAX 300 2021 ini antaranya seperti Traction Control System (TCS), Smart Key System, port pengecas 12V, ruang barangan yang luas dan boleh memuatkan dua buah topi keledar, panel instrumen digital, dan termasuklah lampu depan dan belakang LED dengan lampu posisi LED.