Skuter comel ini ialah Yamaha Vino 2021, bakal berada di pasaran domestik Jepun secara rasmi mulai tarikh 03hb. Mac 2021. Menurut Yamaha, Vino dan juga sebuah lagi model skuter Yamaha JOG 2021 dipasang oleh Honda, namun sebab-sebabnya tidak dimaklumkan. Kebiasaannya kerjasama seperti itu ialah untuk menjimatkan kos.
Untuk musim 2021, Yamaha Vino kini didatangkan empat pilihan warna terbaharu iaitu Red, Black, Brown dan Beige. Dua pilihan warna terdahulu Blue dan Light Blue juga turut ditawarkan, menjadikan pilihan warna yang ada kepada enam kesemuanya. Harga yang ditawarkan untuk Vino adalah sebanyak 203,500 Yen, bersamaan RM 7,838.03.
Vino merupakan sebuah model skuter moden yang tampil dengan gaya fesyen pop dan retro. Ianya turut didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri yang memudahkan dan praktikal, antaranya seperti sistem brek CBS (Combi-Brake System), sistem Idling Stop, tongkat tengah dan tayar belakang yang boleh dikunci menggunakan tuil brek belakang.
Juga terdapat ruang dalaman di bahagian depan yang boleh memuatkan botol air dan barangan peribadi, soket pengecas 12V, cangkuk penyangkut boleh lipat, sistem kunci anti kecurian, panel meter dengan paparan jam dan mempunyai fungsi penetapan masa untuk penukaran minyak enjin dan ruang seluas 20 liter di bawah tempat duduknya.
Yamaha Vino 2021 dilengkapi enjin bersesaran 49cc (single-cylinder, water-cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve, FI) yang menghasilkan kuasa maksimum 4.5PS @ 8,000rpm dan tork maksimum 4.1Nm @ 6,000rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik CVT, dan mempunyai kapasiti tangki bahan api maksimum 4.5 liter.
Spesifikasi lain yang melengkapinya ialah sistem brek dram di bahagian roda depan dan belakang, ketinggian tempat duduk 720 mm, tayar tanpa tiub berukuran 80/100-R10 di bahagian roda depan dan belakang, dan berat hanya 81 kg. Yamaha Vino yang bersaiz kompak ini hanya mempunyai kapasiti tunggangan untuk seorang sahaja.