Yamaha baru-baru ini telah memperkenalkan skuter Yamaha JOG 2021 dan Yamaha JOG Deluxe 2021 untuk pasaran domestik Jepun. Bagi model Yamaha JOG, ianya kini didatangkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu Matte Green dan Brown, manakala Yamaha JOG Deluxe didatangkan satu pilihan warna baharu iaitu Matte Black.
Tiga pilihan warna terdahulu untuk Yamaha JOG iaitu Matte Silver, Black dan White, serta warna Blue untuk Yamaha JOG Deluxe, masih lagi kekal ditawarkan untuk musim 2021 ini. Menurut Yamaha, kedua-dua model skuter kompak dengan penampilan yang sporty itu akan berada di pasaran Jepun secara rasmi mulai tarikh 03hb. Mac 2021.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Yamaha JOG dan Yamaha JOG Deluxe ini termasuklah ruang dalaman di bahagian depan yang luas, penyangkut boleh lipat yang bersaiz besar, panel meter dengan paparan jam dan mempunyai fungsi penetapan masa untuk penukaran minyak enjin dan sistem kunci dengan ciri anti kecurian.
Selain itu model skuter tersebut juga mempunyai ruang barangan seluas 20 liter di bawah tempat duduk dan ‘carrier’ belakang untuk kemudahan membawa lebih banyak barangan. Yamaha JOG Deluxe mempunyai ciri-ciri tambahan istimewa seperti sistem Idling Stop, tempat duduk lebih berkualiti dengan ciri dua jahitan dan emblem 3D.
Yamaha JOG 2021 dan Yamaha JOG Deluxe 2021 dikuasakan enjin bersesaran 49cc (single-cylinder, water-cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve, FI) yang menghasilkan kuasa maksimum 4.5PS @ 8,000rpm dan tork maksimum 4.1Nm @ 6,000rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi automatik, dengan kapasiti tangki bahan api maksimum 4.5 liter.
Spesifikasi lain antaranya ialah sistem brek dram di bahagian roda depan dan belakang dengan sistem CBS (Combi-Brake System), ketinggian tempat duduk 705 mm (JOG) dan 720 mm (JOG Deluxe), tayar tanpa tiub berukuran 80/100-R10 (depan) dan 80/100-R10 (belakang), dan berat hanya 78 kg untuk JOG dan 79 kg untuk JOG Deluxe.
Untuk pasaran domestik Jepun, Yamaha JOG ditawarkan pada harga 170,500 Yen, bersamaan RM 6,579.60 mengikut kadar semasa. Yamaha JOG Deluxe pula berharga sebanyak 183,700 Yen, bersamaan RM 7,088.99 mengikut kadar semasa. Menurut Yamaha, kedua-dua model tersebut dipasang oleh syarikat Honda Motor Co., Ltd..