Model street naked terbaharu Triumph Trident 660 2021 secara rasminya dilancarkan di pasaran Malaysia hari ini. Model tersebut didatangkan dalam empat pilihan warna yang menarik iaitu dua pilihan warna solid Crystal White dan Sapphire Black, manakala dua pilihan warna premium ialah Matt Jet Black / Silver Ice dan Silver Ice Diablo Red.
Bagi model berwarna solid, harga asas yang ditetapkan ialah RM 43,900.00, sementara model dengan pilihan warna premium berharga sebanyak RM 44,900.00. Untuk anda yang berminat, tempahan kini telah dibuka dan kumpulan pertama model tersebut akan tiba di bilik pameran Triumph Motorcycles Malaysia mulai tarikh 20hb. Februari 2021.
Triumph Trident 660 2021 dikuasakan enjin bersesaran 660cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC, inline 3-cylinder) dengan padanan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 81PS @ 10,250rpm dengan tork puncak 64Nm @ 6,250rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti 14 liter, dengan berat motosikal 189 kg (wet weight).
Suspensi depannya ialah ‘Showa 41mm upside down separate function forks (SFF)’, manakala suspensi belakangnya merupakan ‘Showa monoshock RSU, with preload adjustment’. Sistem brek daripada Nissin terdiri daripada cakera depan berkembar 310 mm dan cakera belakang tunggal 255 mm, lengkap dengan sistem ABS dua saluran.
Triumph Trident 660 2021 turut dilengkapi sistem assist & slipper clutch, panel instrumen TFT berwarna pelbagai fungsi (with Accessory fit “My Triumph” Connectivity System), sistem lampu LED sepenuhnya, mod tunggangan Road dan Rain, ‘switchable traction control (integrated into the riding modes)’ dan sistem pendikit Ride by Wire.
Di bahagian roda, Triumph Trident 660 2021 dilengkapi tayar Michelin Road 5 dalam siri 120/70-R17 (depan) dan 180/55-R17 (belakang). Ketinggian tempat duduk model naked tersebut berada pada paras 805 mm. Untuk pasaran Malaysia, tempoh jaminannya ialah selama 2 tahun tanpa had perbatuan, dengan jarak selang servis 16,000 km.
Triumph Trident 660 2021 menawarkan ciri tunggangan yang sporty, lincah dan dinamik dengan bunyi ekzos triple yang unik. Penampilannya menonjolkan keaslian rekaan British, dalam bentuk minimalis yang mempamerkan DNA sebenar motosikal Triumph. Model berkenaan turut disediakan 45 pilihan aksesori yang direka khusus untuknya.