Atlas Panther SH50 2021 di pasaran Morocco, rekaannya mirip model skuter Honda SH125i

Ini merupakan sebuah model yang diberi nama Atlas Panther SH50, yang dilancarkan di pasaran Morocco sejak tahun 2020 yang lepas. Model ini dikatakan mempunyai enjin bersesaran hanya 50cc, namun tidak pasti sama ada maklumat itu tepat atau pun tidak. Model ini dilihat lebih sesuai jika menggunakan enjin bersesaran 110cc atau 125cc.

Apa yang menariknya mengenai model Atlas Panther SH50 ini ialah gaya rekaannya di bahagian depan yang mirip model skuter dalam siri Honda SH, sama ada model Honda SH125i, Honda SH150i atau yang terkini Honda SH300i / SH350i. Namun ianya tidaklah meniru seratus-peratus kerana reka bentuk keseluruhannya ialah sebuah model kapcai.

Atlas Panther SH50 ini mungkin kelihatan agak pelik, kerana ianya merupakan sebuah model kapcai yang dilengkapi skrin penghadang angin atau windshield. Berdasarkan gambar-gambar yang dipaparkan di sini, penampilannya kelihatan agak kemas, seperti tempat duduk yang kelihatan berkualiti dan brek cakera di kedua-dua bahagian roda.

Untuk pasaran Morocco, model ini dijual pada harga 10,000 Dirham, yang mana ianya bersamaan dengan nilai RM 4,512.23 mengikut kadar tukaran semasa. Untuk model tahun 2021, Atlas Panther SH50 didatangkan dengan sport rim baharu yang tampil lebih sporty. Untuk anda, saksikan gambar-gambar menariknya dalam galeri di bawah.