Pada tahun 1988, Honda di pasaran Jepun telah mengimport model kapcai Honda CUB 100EX dari Thailand untuk dijual di pasaran domestik Jepun. Berdasarkan maklumat di dalam siaran akhbar yang diterbitkan pada ketika itu, pilihan warna tunggal untuk model berkenaan ialah hitam, dengan jualannya bermula pada tarikh 19hb. Julai 1988.
Di pasaran Thailand, Honda Dream 100 dikeluarkan sejak tahun 1986 oleh syarikat Thai Honda Manufacturing Co., Ltd.. Model tersebut sangat laris di pasaran Thailand. Pada ketika itu jualannya dikatakan telah mencapai angka 100,000 unit. Untuk pasaran Malaysia, Honda EX5 dilancarkan pada tahun 1987 dan juga menjadi model terlaris.
Pada tahun 1989, Honda di pasaran Jepun sekali lagi mengimport model Honda CUB 100EX dari Thailand, kali ini tampil dengan perubahan di bahagian carrier belakang. Menurut Honda, penggunaan carrier belakang untuk Honda CUB 100EX keluaran tahun 1989 iatu ialah kerana model tersebut menjadi popular untuk kegunaan perniagaan.
Pilihan warna yang ditawarkan pula ialah biru. Spesifikasi enjin untuk model tahun 1988 dan 1989 itu ialah sama iaitu dikuasakan enjin bersesaran 97cc (air-cooled, 4-cycle, OHC single cylinder) yang kemudiannya dipadankan kotak gear empat kelajuan. Kuasa maksimumnya ialah 8.0PS @ 8,000rpm dan tork maksimum 8.14Nm @ 6,000rpm.
Setakat maklumat yang ada, Honda CUB 100EX hanya dijual di pasaran domestik Jepun untuk tahun 1988 dan 1989 sahaja. Selepas itu tiada lagi berita penjualan model tersebut bagi model-model tahun seterusnya. Untuk pasaran Malaysia, jualan Honda EX5 generasi pertama telah bertahan dari tahun 1987 sehingga ke tahun 2003.
Pada tahun 2003, Boon Siew Honda telah memperkenalkan generasi baharu Honda EX5 yang dikenali dengan nama Honda EX5 Dream 100. Kemudiannya pada tarikh bersejarah 31hb. Disember 2013, pengeluaran Honda EX5 Dream 100 untuk pasaran Malaysia secara rasminya telah ditamatkan oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd..