Honda Ruckus 2022 diperkenalkan di pasaran USA dengan tiga pilihan warna terbaharu

Model skuter kompak dan ranggi Honda Ruckus 2022 kini diperkenalkan di pasaran USA dengan tiga pilihan warna terbaharu. Ketiga-tiga pilihan warna terbaharu White / Pearl Blue, Gray dan Midnight Blue / Tan itu menggantikan dua warna terdahulu Black dan White / Red yang boleh didapati melalui model sebelumnya Honda Ruckus 2020.

Honda Ruckus 2022 menawarkan kerangka tubular yang ringkas dan terdedah, dua lampu depan berkembar, sistem penghidup elektrik, pengendalian yang mudah dan praktikal, serta enjin 49cc (liquid-cooled single-cylinder four-stroke) dengan transmisi automatik V-Matic yang berkuasa, berdaya tahan dan cekap penggunaan bahan api.

Honda Ruckus dilengkapi suspensi belakang tunggal, brek depan dan belakang jenis dram, tangki bahan api 4.9 liter dan berdiri di atas tayar depan dan belakang berukuran 120/90-R10 dan 130/90-10. Skuter dengan berat hanya 88 kg ini sangat popular di pasaran USA sebagai salah satu platform untuk budaya pengubahsuaian atau custom.

Untuk pasaran USA, Honda Ruckus 2022 ditawarkan pada harga $2,799, bersamaan RM 11,393.33 mengikut kadar tukaran semasa. Ianya akan berada di pasaran secara rasmi mulai bulan April 2021. Ketika ini di pasaran negara jiran Thailand, model dengan personaliti yang hampir sama dengan Honda Ruckus ialah Honda Zoomer-X.