MV Agusta serah empat unit Turismo Veloce 800 Lusso SCS kepada unit bermotosikal pasukan polis Milan, Itali

MV Agusta baru-baru ini telah menyerahkan empat unit motosikal kepada ibu pejabat pasukan polis Milan, Itali. Keempat-empat model Turismo Veloce 800 Lusso SCS yang didatangkan dengan livery Italian State Polis itu kini menyertai dua unit Turismo Veloce dan dua unit Rivale 800, yang lebih awal diserahkan kepada Nibbio Motorcycle Unit.

Majlis penyerahan rasmi itu berlangsung pada tarikh 04hb. Februari 2021 di ibu pejabat polis Milan. Melalui jalinan kerjasama di antara MV Agusta dan pihak polis Milan, ianya  kini telah mengukuhkan lagi sokongan kepada unit bermotosikal polis Milan iaitu Nibbio Motorcycle Unit dalam usaha meningkatkan lagi tahap keselamatan di seluruh Milan.

MV Agusta Turismo Veloce 800 Lusso SCS mempunyai ciri-ciri teknikal dan kefungsian yang luar biasa. Model tersebut menampilkan enjin tiga silinder sebaris 798cc, dengan kuasa maksimum 110hp @ 10,150rpm dan tork maksimum 80Nm @ 7,100rpm. Ianya turut dilengkapi panel sisi (side panniers) yang menawarkan storan sehingga 60 liter, cukup untuk menempatkan kit kecemasan atau unit senjata bertugas machine-gun.

Selain itu ianya turut dilengkapi tangki bahan api 22 liter dengan jarak tunggangan autonomi 300 km, manakala teknologi SCS (Smart Clutch System) memudahkan lagi corak tunggangannya. Turismo Veloce 800 Lusso SCS mempunyai berat hanya 199 kg (dry weight), menjadikannya motosikal paling ringan dan lincah di dalam kategorinya.