Skuter Honda ADV150 yang selama ini sangat dinanti-nantikan akhirnya selamat dilancarkan di pasaran Malaysia semalam. Dengan harga asas RM 11,999.00 yang lebih rendah daripada harga jangkaan sebelum ini sekitar RM 13k – RM 15k, rata-rata peminat setia model tersebut berpuas hati dengan harga yang telah ditetapkan itu.
Bagaimanapun pelancaran Honda ADV150 sebenarnya masih kurang lengkap untuk peminat tegar motosikal Honda di pasaran tempatan, kerana masih ramai lagi yang menantikan ketibaan sebuah lagi model yang sehingga kini belum kunjung tiba. Model tersebut ialah Honda Winner X yang ketika ini ditawarkan di pasaran Vietnam.
Ramai yang bertanyakan Arena Motosikal persoalan sama ada Honda Winner X atau Honda RS150R V3 ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia atau pun tidak. Jika ianya akan dilancarkan, bila pula tarikh pelancarannya. Sebenarnya Arena Motosikal hanya mampu membuat ramalan sahaja, bergantung kepada sebarang input yang diterima.
Selain itu adalah berdasarkan pemerhatian, yang kemudiannya melihat kepada trend dan strategi pemasaran semasa yang dibawakan oleh pihak Boon Siew Honda selama ini. Untuk menjawab persoalan sama ada Honda Winner X akan dilancarkan di pasaran Malaysia atau pun tidak, tahap keyakinan Arena Motosikal ketika ini sangat tinggi.
Honda Winner X dijangka, atau diramalkan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun ini. Tarikh pelancaran yang diyakini pula ialah pada separuh kedua atau pada suku keempat 2021. Pelancaran Honda ADV150 semalam adalah permulaan kepada pengenalan beberapa buah model baharu lain yang bakal dilancarkan pada tahun ini.
Pihak Boon Siew Honda sendiri sebenarnya sedar bahawa Hong Leong Yamaha Motor bakal melancarkan model baharu Yamaha Y15ZR V3 (Yamaha Exciter 155 VVA) pada tahun ini, yang dijangka akan memberikan kesan ketara kepada tahap jualan model Honda RS150R V2. Hanya Honda Winner X yang mampu memberikan saingan balas.
Oleh itu pihak Boon Siew Honda telah bersiap-sedia untuk melancarkan Honda Winner X di pasaran Malaysia, hanya menunggu masa yang dijadualkan sahaja. Tempoh menunggu ketibaan Honda Winner X di pasaran Malaysia hampir dua tahun setengah tidaklah terlalu lama, yang penting biarlah ianya sedikit lambat daipada tiada langsung.