Yamaha RX-Z merupakan salah sebuah model motosikal bertaraf legenda yang sangat popular di pasaran Malaysia. Tambahan pula jika ianya merupakan model generasi pertama yang dikeluarkan pada tahun 1985, seperti model Yamaha RX-Z 5-Speed yang dimiliki oleh saudara Nik Zahari Wan Omar dari Kampung Pela, Ajil, Terengganu ini.
Beliau yang juga mesra dengan nama panggilan Tok Ngoh Nik, 58, baru-baru ini telah tular di media sosial bersama-sama gambar motosikal Yamaha RX-Z 5-Speed miliknya itu, apabila motosikal tersebut yang kini telah berusia 36 tahun ditawarkan pada harga sebanyak RM 50,000.00 oleh seorang ahli perniagaan yang mahu membelinya.
Beliau bagaimanapun masih belum berhasrat untuk menjual motosikal kesayangan itu kerana nilai sentimental yang ada pada motosikal berkenaan, yang dibeli pada tahun 1985 dengan harga RM 3,300.00 secara ansuran. Menurut Tok Ngoh Nik lagi, motosikal itu telah banyak berjasa kepadanya selama ini, dan sejak dari zaman muda motosikal itu dijaga dengan baik dan telah menyertai banyak konvoi ke seluruh negeri.
Selain itu nombor pendaftaran pada motosikal itu juga dikatakan menjadi perhatian dan kegilaan orang ramai. Nombor pendaftaran TC 13 keluaran tahun 1974 itu dikatakan pernah ditawarkan pada harga RM 20,000.00 secara pembelian tunai oleh seorang ahli perniagaan. Malah beliau mengatakan baru-baru ini seorang peniaga sanggup membeli nombor pendaftaran istimewa itu dengan berapa saja harga yang beliau tetapkan.
Setakat ini Tok Ngoh Nik dilaporkan masih berat hati untuk menjual motosikalnya itu yang dikatakan masih kekal dengan semua komponen tulen, tetapi tidak pasti pada masa akan datang. Anak beliau, Nik Muhammad Izzuddin Nik Zahari, 29, juga enggan bapanya menjual motosikal RX-Z keluaran pertama itu kerana nilai istimewanya.
Berdasarkan gambar motosikal Yamaha RX-Z 5-Speed milik Tok Ngoh Nik seperti yang dipaparkan, skim warnanya didapati sama seperti model Yamaha RX-Z keluaran tahun 1985 yang pernah Arena Motosikal siarkan dahulu. Cuma perbezaan di antara gambar kedua-dua model motosikal tersebut ialah penggunaan rim aloi dan juga rim jenis lidi.
Sumber : Harian Metro