Pengeluar motosikal Dayang Motorcycle yang berasal dari negara China sejak akhir-akhir ini begitu popular, termasuklah di rantau ASEAN dan Malaysia. Semuanya gara-gara model terbaharu keluarannya Dayang ADV150 yang akan mula dijual di pasaran China tidak lama lagi. Setakat ini harga untuk model berkenaan belum diumumkan.
Oleh kerana Dayang ADV150 ini diilhamkan daripada model Honda ADV150, jadi ianya mempunyai rekaan yang boleh dikatakan menarik dan sporty. Namun secara umumnya ramai yang mengatakan penampilan Honda ADV150 jauh lebih cantik dan bergaya. Bagaimanapun Dayang ADV150 tetap mempunyai beberapa kelebihan yang tersendiri.
Antaranya ialah enjinnya yang bersesaran 150cc menawarkan jumlah kuasa yang lebih tinggi sebanyak 16.45PS @ 8,500rpm dengan tork 14.6Nm @ 6,500rpm, berbanding Honda ADV150 yang menghasilkan kuasa maksimum 14.5PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 13.8Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti maksimum 9.3 liter, manakala tangki bahan api Honda ADV150 mempunyai kapasiti 8.0 liter.
Selain itu Dayang ADV150 turut mempunyai salah satu ciri canggih yang tidak dapat dicabar oleh Honda ADV150, apabila ianya dilengkapi kamera depan dan belakang. Paparan kedua-dua kamera tersebut boleh dilihat secara terus di paparan skrin digital dan rakamannya boleh dimuat turun ke telefon bimbit menggunakan aplikasi mobil.
Dayang ADV150 juga dilengkapi dengan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri yang menarik, antaranya seperti sistem lampu LED dengan rekaan lampu depan yang tersendiri, skrin penghadang angin boleh laras, pelbagai butang di handlebar dengan lampu latar LED yang berguna pada waktu malam, panel meter digital yang memaparkan pelbagai info, sistem penghidup tanpa kunci dan sistem brek cakera depan belakang dengan ABS.
Kelebihan Dayang ADV150 seterusnya ialah cirinya sebagai sebuah model skuter yang lasak dan mampu meredah laluan yang mencabar. Dengan tayar berukuran 110/80-14 (depan) dan 130/70-13 (belakang) daripada jenis bunga yang tebal, tunggang uji yang dijalankan di China baru-baru ini telah membuktikan kemampuan sebenarnya.
Walaupun ramai yang berminat dengan model Dayang ADV150 ini kerana penampilan dan ciri-ciri yang ditawarkan, ditambah pula dengan harganya yang pastinya akan lebih mampu milik berbanding harga Honda ADV150, hasrat untuk memilikinya mungkin tidak akan tercapai. Ini kerana buat masa ini ianya khusus untuk pasaran China sahaja.
Sumber : Newmotor.com.cn & Sohu.com