Untuk pasaran Thailand, Yamaha menawarkan sebuah model kapcai yang diberi nama Yamaha Finn. Versi paling terkini untuk model berkenaan diperkenalkan dalam bulan Februari 2020 yang lepas, yang mana ianya tampil dengan kemaskini warna terbaharu yang kelihatan lebih menarik dan elegan bagi menggantikan model tahun sebelumnya.
Yamaha Finn model tahun 2020 di pasaran Thailand ditawarkan dalam empat pilihan varian kesemuanya. Varian teratas dilengkapi sistem brek UBS, rim aloi, sistem penghidup elektrik dan tendang, manakala varian kedua dibawahnya sedikit berbeza apabila ianya tidak dilengkapi sistem brek UBS. Varian ketiga pula didatangkan dengan rim berjejari, manakala varian paling asas tidak dibekalkan sistem penghidup elektrik.
Yamaha Finn dikuasakan enjin bersesaran 114cc (4-stroke, single cylinder, SOHC, air-cooled) dengan kotak gear empat kelajuan. Jumlah kuasa dan tork bagaimanapun tidak diumumkan di dalam laman sesawang Yamaha Thailand. Tangki bahan apinya hadir dalam kapasiti 4.0 liter, dengan tahap ekonomi yang dikatakan sungguh menjimatkan.
Sistem suspensi yang melengkapi Yamaha Finn terdiri daripada fork depan teleskopik dan penyerap kejutan belakang jenis berkembar, manakala sistem brek cakera untuk roda depan digandingkan dengan brek jenis dram di bahagian roda belakang. Untuk kemudahan, Yamaha Finn turut dilengkapi sistem kawalan kunci berpusat, slot depan pelbagai guna dan ruang di bawah tempat duduk dengan keluasan sehingga 9.7 liter.
Harga jualan untuk Yamaha Finn 2020 di pasaran Thailand bermula dari THB 40,900 (RM 5,515.15) untuk varian paling asas, diikuti oleh varian seterusnya sebanyak THB 43,500 (RM 5,865.75) dan THB 45,000 (RM 6,068.01). Untuk varian paling atas dengan spesifikasi serba lengkap, harga jualannya ialah THB 47,000 (RM 6,337.70). Paling menarik, tempoh jaminan yang diberikan adalah sehingga 5 tahun atau 50,000 km.