Selain daripada model skuter Dayang ADV150 2021 yang bakal ditawarkan di pasaran China secara rasmi tidak lama lagi, sebuah lagi model dalam varian skuter maxi yang lebih besar iaitu Dayang ADV350 2021 juga bakal dilancarkan bersama-sama. Menurut maklumat awal, pelancarannya dijadualkan berlangsung pada 28hb. Februari 2021.
Rekaan Dayang ADV350 mungkin mengambil inspirasi daripada model skuter maxi Honda Forza 350 2021, sama seperti Dayang ADV150 yang diilhamkan daripada model Honda ADV150. Bagaimanapun berbanding Honda Forza 350 yang bercirikan model skuter maxi bandar, Dayang ADV350 dijangka hadir dengan ciri tunggangan off-road.
Jangkaan tersebut bersesuaian dengan namanya yang menggunakan akronim ADV yang dipendekkan daripada perkataan Adventure, sama seperti model Dayang ADV150 yang telah diuji keupayaannya di laluan off-road yang mencabar baru-baru ini. Trend skuter maxi ADV seperti Dayang ADV350 ini sememangnya semakin popular ketika ini.
Berdasarkan maklumat awal, Dayang ADV350 2021 akan dilengkapi enjin satu silinder bersesaran 350cc dengan sistem sejukan cecair. Ciri-ciri moden dan canggih yang akan melengkapinya nanti termasuklah panel meter digital, sistem lampu LED, brek ABS dua saluran dan kamera depan dan belakang, sama seperti pada model Dayang ADV150.
Sumber : Inf.news