Selepas hampir setahun Yamaha YZF-R25 2020 diperkenalkan di pasaran Malaysia, kini Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) memperkenalkan pula Yamaha YZF-R25 model tahun 2021. Untuk musim 2021, model sport bike tersebut kini didatangkan dalam dua pilihan warna baharu yang menarik iaitu Cyan Metallic dan Yamaha Blue.
Masih mengekalkan spesifikasi terdahulu, Yamaha YZF-R25 2021 dikuasakan enjin bersesaran 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC inline twin-cylinder; 4-valves) yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 35.5hp (26.5kW) @ 12,000rpm dengan tork puncak 22.6Nm @ 10,000rpm.
Melengkapkan lagi spesifikasi dan penampilannya ialah lampu depan berkembar yang agresif, panel instrumen digital LCD dengan pelbagai info, rekaan suis 3 dalam 1 yang diinspirasikan daripada motosikal besar, fork depan jenis terbalik (inverted front fork) yang dipertingkatkan prestasinya dan gaya rekaan badan yang ergonomik dan sporty.
Menggunakan kerangka badan jenis berlian, YZF-R25 mempunyai ketinggian tempat duduk 780mm, tangki bahan api dengan isian maksimum 14.3 liter dan berat 166 kg (termasuk minyak enjin dan petrol). Sistem brek cakera depan (dual piston floating) dan brek cakera belakang (single piston) yang cekap melengkapkan ciri keselamatannya.
Harga yang disyorkan untuk Yamaha YZF-R25 2021 masih kekal sama seperti harga model tahun sebelumnya, iaitu RM 19,998.00 (harga asas tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Sebagai tambahan, setiap pembelian Yamaha YZF-R25 2021 ini akan turut menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma.