TVS Apache RTR 200 kini berharga serendah RM 6,500.00 sahaja, lebih murah berbanding moped 150cc

Untuk mencari sesebuah model motosikal dalam kategori 200cc pada harga yang lebih rendah berbanding harga yang ditawarkan untuk moped 150cc adakalanya dirasakan sangat mustahil. Bagaimanapun percayakah anda jika model naked TVS Apache RTR 200 ketika ini ditawarkan pada harga serendah hanya RM 6,500.00 sahaja?

Berdasarkan paparan di dalam laman sesawang Mudah.my sejak awal Disember yang lalu, memang benar TVS Apache RTR 200 kini dijual pada harga RM 6,500.00 sahaja. Harga tersebut sangat berpatutan kerana model berkenaan dilengkapi enjin bersesaran 197.75cc dengan kotak gear lima kelajuan, dan mempunyai kelajuan puncak 129 km/j.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada TVS Apache RTR 200 ini dilengkapi spesifikasi penuh seperti mana model TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0 yang sebelum ini dijual pada harga RM 8,950.00. Jika ada perbezaan, mungkin hanya melibatkan kelengkapan aksesori sahaja dan tidak melibatkan aspek teknikal.

Untuk pasaran Malaysia, TVS Apache RTR 200 yang berasal dari negara India ini boleh didapati dalam pilihan warna Putih, Merah dan Hitam. Kelengkapan yang ada padanya boleh dikatakan berbaloi dengan harga yang ditawarkan, termasuk penampilannya yang sporty. Untuk anda yang berminat, tempah segera sebelum ianya kehabisan stok.