TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0 di pasaran Malaysia, harga asas RM 8,950.00

Jenama pengeluar motosikal dari negara India, TVS Motor Company mula bertapak di pasaran Malaysia sejak penghujung tahun 2018 yang lalu. Diedarkan oleh syarikat tempatan Daju Motors Sdn. Bhd., dua model ditawarkan ketika ini iaitu jentera naked TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0 dan model kapcai TVS Neo X3i.

Sewaktu ianya dilancarkan dahulu, TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0 didatangkan dengan tanda harga sebanyak RM 10,950.00, namun kini harga asasnya telah diturunkan kepada paras yang lebih kompetetif iaitu RM 8,950.00 sahaja. Sebagai perbandingan, Modenas Pulsar NS200 ABS ditawarkan pada harga RM 9,655.00.

Aspek teknikal memperlihatkan TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0 dilengkapi enjin 197.75cc (SI, 4-stroke, Oil-cooled, Single-cylinder) dengan sistem Fuel Injection, dan dipadankan kotak gear lima kelajuan dengan teknologi A-RT (Anti Reverse Torque) Slipper Clutch. Dengan kuasa maksimum 21PS @ 8,500rpm dan tork puncak 18.1Nm @ 7,000rpm, ianya dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 129 km/j.

Seterusnya, sistem suspensi depan terdiri daripada sepasang fork teleskopik, manakala di bahagian belakang ialah suspensi monoshock yang ditala dengan kerjasama KYB untuk prestasi yang lebih cemerlang. Brek cakera depan dan belakang masing-masing berukuran 270 mm dan 240 mm, namun ianya tidak dilengkapi sistem brek ABS.

TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0 mempunyai ukuran roda depan 90/90-17 dan roda belakang 130/70-17, kedua-duanya dilengkapi tayar tanpa tiub. Ketinggian tempat duduk pula berada pada paras 800 mm, dengan jarak kelegaan bumi 180 mm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 12 liter, dan berat motosikal 149 kg.

Pilihan warna yang disediakan ialah hitam, putih dan merah. Walau pun agak kurang dikenali dan boleh dikatakan masih baru di pasaran Malaysia, model naked TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0 ini tetap menawarkan reka bentuk yang sporty, enjin dengan prestasi yang memuaskan dan harga jualan yang berpatutan.

(Visited 7,150 times, 1 visits today)