Spyshot skuter Yamaha NVX V2 2021 di Malaysia, pelancaran dijangka pada separuh pertama tahun depan

Yamaha Aerox 155 Connected 2021 dan Yamaha NVX 155 VVA 2021 secara rasminya dilancarkan di pasaran Indonesia dan Vietnam pada bulan November 2020 yang lalu. Untuk pasaran Malaysia pula, model skuter tersebut yang lebih dikenali dengan nama Yamaha NVX V2 2021 dijangka akan dilancarkan pada separuh pertama tahun depan.

Jangkaan ini adalah berdasarkan gambar spyshot terbaharu yang dikongsikan oleh pembaca blog Arena Motosikal iaitu saudara Saiful Mat Saad, memperlihatkan model skuter tersebut kini telah ditunggang uji oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLMY), berdekatan bandar Selayang yang terletak di daerah Gombak, Selangor.

Yamaha NVX V2 2021 mempunyai gaya rekaan facelift terbaharu yang lebih sporty dan elegan berbanding generasi sebelumnya, serta turut dilengkapi teknologi sambungan Yamaha Y-Connect yang boleh dihubungkan dengan telefon pintar, lampu depan LED rekaan baharu, panel meter digital berwajah baharu dengan pelbagai fungsi, sistem Smart Key, sistem Stop & Start dan soket pengecas telefon bimbit.

Selain itu ianya juga hadir dengan kelengkapan sistem brek ABS, kapasiti tangki bahan api 5.5 liter yang lebih besar sehingga 0.9 liter berbanding generasi terdahulu, ruang barangan peribadi di bawah tempat duduk seluas 25 liter, ukuran tayar depan dan belakang yang lebar, suspensi belakang dengan tangki minyak hidraulik dan rekaan baharu tempat duduk yang kini lebih selesa untuk penunggang dan pembonceng.

Di bahagian enjin, ianya dilengkapi enjin Blue Core bersesaran 155cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valves, SOHC, liquid cooled) dengan teknologi canggih Variable Valve Actuation (VVA), yang kemudiannya dipadankan transmisi automatik CVT. Kuasa yang dihasilkan mencapai angka 15.4PS @ 8,000rpm dengan tork 13.9Nm @ 6,500rpm.

Yamaha NVX V2 2021 turut dilengkapi sistem lampu LED depan dan belakang, brek depan ABS dengan cakera berdiameter 230 mm, brek belakang jenis dram, tayar depan dan belakang tanpa tiub yang masing-masing berukuran 110 / 80-14M / C 53P dan 140 / 70-14M / C 62P, serta mempunyai berat hanya 125 kg (wet weight).

Untuk pasaran Malaysia, belum dapat dipastikan sama ada Yamaha NVX V2 2021 akan dilancarkan dengan spesifikasi serba lengkap seperti mana varian Yamaha Aerox 155 Connected ABS 2021 (Indonesia) dan Yamaha NVX 155 VVA 2021 (Vietnam). Mungkin model ini juga akan menjadi pilihan terbaik selain daripada model Yamaha Y15ZR V3.