KTM 390 Adventure dikhabarkan akan dilancarkan di pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Kini sebuah lagi model serupa iaitu KTM 250 Adventure dengan sesaran enjin yang lebih kecil, juga dijangka akan masuk ke pasaran tempatan mulai 2021. Setakat ini maklumat mengenainya telah disiarkan di dalam laman sesawang KTM Malaysia.
KTM 250 Adventure 2021 dilengkapi enjin bersesaran 248.8cc (1-cylinder, 4-stroke engine, liquid cooled) dengan padanan kotak gear enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 29.5hp dengan tork maksimum 24Nm. Enjin tersebut turut memiliki sistem slipper clutch, di samping mesra alam apabila patuh piawaian emisi Euro 5.
Sistem suspensinya merupakan gabungan fork depan WP APEX 43 dengan penyerap hentak belakang WP APEX – Monoshock, masing-masing dengan travel 170 mm dan 177 mm. Talaan suspensi yang memberikan corak pengendalian terbaik itu memberikan ketinggian tempat duduk 855 mm dan jarak kelegaan tanah sehingga 200 mm.
Sistem breknya pula terdiri daripada cakera tunggal di bahagian depan (four-piston radial fixed calliper) dan cakera tunggal di bahagian belakang (single-piston floating calliper), lengkap dengan sistem 2-channel ABS untuk tahap keselamatan tertinggi.
Dengan kapasiti maksimum tangki bahan api 14.5 liter dan sistem penjana kuasa yang ekonomi, KTM 250 Adventure dikatakan mampu mencapai jarak perjalanan lebih 400 km. Ianya turut dibantu oleh roda depan 100/90-R19 dan roda belakang 130/80-R17, yang mana kedua-duanya dipasangkan tayar tanpa tiub MRF Morgrip Meteor-FM2.
Spesifikasi lain yang melengkapi KTM 250 Adventure ini antaranya termasuklah lampu depan halogen dengan lampu DRL, lampu signal LED dan panel meter digital LCD. Hasil semakan mendapati sistem Ride-by-Wire, KTM MY RIDE, Quick Shifter, MTC (Motorcycle Traction Control), Cornering ABS, panel meter digital TFT dan sistem suspensi boleh laras sepenuhnya kekal eksklusif untuk model KTM 390 Adventure.
Berat keringnya ialah 156 kg, tidak jauh berbeza dengan berat kering 158 kg KTM 390 Adventure. Spesifikasi penuh KTM 250 Adventure tidak akan menyamai spesifikasi penuh KTM 390 Adventure, namun yang penting ialah harga jualannya yang lebih rendah dan akan memberi peluang kepada pemegang lesen B2 untuk memilikinya.