Honda Hornet 2.0 Repsol Honda Edition 2020 dilancarkan di pasaran India, harga bersamaan RM 7,082.76

Pada Ogos yang lalu, Honda Hornet 2.0 2020 dilancarkan di pasaran India. Kini model tersebut didatangkan dengan pilihan warna baharu dalam versi Repsol Honda Edition, yang diilhamkan daripada warna jentera perlumbaan Repsol Honda MotoGP. Harganya ditawarkan sebanyak INR 1,28,351, bersamaan RM 7,082.76 mengikut kadar semasa.

Spesifikasinya kekal sama, dilengkapi enjin PGM-FI HET (Honda Eco Technology) yang canggih bersesaran 184.40cc (4 Stroke, SI Engine, Air Cooled), serta patuh piawaian emisi BS6. Kuasa maksimumnya mencapai 17hp (12.7kW) @ 8,500rpm bersama-sama tork puncak 16.1Nm @ 6,000rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi lima kelajuan.

Ciri-ciri menarik yang didatangkan untuk Honda Hornet 2.0 Repsol Honda Edition 2020 ini termasuklah fork depan USD berwarna emas, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dengan ABS 1-saluran, sistem brek cakera belakang, tayar belakang dengan kelebaran 140 mm dan tempat duduk dengan rekaan terpisah yang sporty.

Selain itu ianya juga didatangkan dengan panel meter digital LCD sepenuhnya, sistem lampu LED depan dan belakang, Engine Stop Switch, Hazard Switch, Key On Tank, dan rekaan tangki minyak yang agresif. Tangki minyak tersebut hadir dengan kapasiti penuh 12 liter dan berat keseluruhan motosikal berada pada paras 142 kg (kerb weight).

Honda Hornet 2.0 Repsol Honda Edition 2020 untuk pasaran India ini boleh dikatakan tampil bergaya dan sporty, begitu juga dengan empat pilihan warna lain yang tersedia. Bagaimanapun model seperti ini eksklusif untuk pasaran India dan sudah pasti ianya tidak akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd.