Untuk pasaran Malaysia, Next Bike Sdn. Bhd. kelmarin bukan saja melancarkan Ducati Panigale V4 2020 dan Ducati Panigale V4 S 2020, malah pada masa yang sama turut melancarkan Ducati Panigale V2 2020. Model berkenaan ditawarkan pada harga asas sebanyak RM 109,900.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).
Ducati Panigale V2 dikuasakan enjin bersesaran 955cc (Superquadro twin-cylinder engine) yang mematuhi piawaian Euro 5, dan menghasilkan kuasa maksimum 155hp @ 10,750rpm dengan tork maksimum 104Nm @ 9,000rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 17 liter, sementara berat kering berada pada paras 176 kg.
Suspensi depan Ducati Panigale V2 terdiri daripada fork Showa BPF 43 mm dengan gandingan suspensi belakang tunggal Sachs, bersama-sama lengan ayun single-sided aluminium. Kedua-dua sistem suspensi tersebut boleh dilaraskan sepenuhnya.
Tugasan pemberhentian disempurnakan oleh sistem brek Brembo di bahagian depan dengan cakera berkembar 320 mm dan kaliper empat piston, dan di bahagian belakangnya ialah brek cakera tunggal 245 mm dengan kaliper dua piston. Paparan instrumen merupakan unit digital TFT 4.3 inci dengan paparan berwarna sepenuhnya.
Ducati Panigale V2 turut dilengkapi kelengkapan seperti Riding Modes, Power Modes, ABS Bosch Cornering Evo, Ducati Traction Control (DTC) EVO 2, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Engine Brake Control (EBC) Evo dan Auto tyre calibration.
Kelengkapan standard lain adalah seperti Ducati Quick Shift (DQS) up/down EVO 2, sistem lampu LED sepenuhnya dengan lampu DRL (Daytime Running Light), Sachs steering damper dan termasuklah Auto-off indicators. Pilihan warna ialah Ducati Red, dan warna baharu White Rosso baru saja diperkenalkan dalam bulan Julai 2020.
Artikel berkaitan : Ducati Panigale V2 2020 kini boleh didapati dalam skim warna baharu White Rosso