Ducati Panigale V2 2020 kini boleh didapati dalam skim warna baharu White Rosso

Ducati baru-baru ini memperkenalkan skim warna baharu White Rosso untuk model Panigale V2. Warna tersebut merupakan gabungan di antara warna utama Star White Silk dengan warna Ducati Red, yang mana ianya boleh dilihat pada bahagian rim roda, saluran intake kemasukan udara depan dan di bahagian sisi fairing.

Ducati Panigale V2 membuat kemunculan pertama pada bulan November yang lepas, dan hadir dalam skim warna tunggal Ducati Red. Ianya dikuasakan enjin 955cc (Superquadro twin-cylinder engine) yang mematuhi piawaian Euro 5, menghasilkan kuasa maksimum 155hp @ 10,750rpm dengan tork maksimum 104Nm @ 9,000rpm.

Spesifikasi yang didatangkan untuk Panigale V2 merangkumi pakej sistem elektronik moden yang serba lengkap termasuk tiga mod tunggangan (Race, Sport dan Street), paparan instrumen digital 4.3 inci TFT berwarna, sistem suspensi boleh dilaraskan sepenuhnya, sistem brek Brembo dan tayar berprestasi Pirelli Diablo Rosso Corsa II.

Dengan pengenalan warna baharu White Rosso, bakal pemilik Ducati Panigale V2 kini mempunyai lebih pilihan untuk memiliki model berkenaan dengan pilihan warna berdasarkan minat masing-masing. Menurut Ducati, Panigale V2 dengan pilihan warna baharu White Rosso telah pun berada di pasaran Eropah sejak bulan Julai 2020.