Untuk pasaran Filipina, Yamaha telah melancarkan model terbaharu Yamaha XSR155 pada tarikh 10hb. Julai 2020 yang lalu. Pelancaran model yang tampil dengan gaya retro klasik itu dilakukan secara online melalui laman Facebook Yamaha Motor Philippines, Inc., disebabkan wabak pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.
Yamaha XSR155 2020 untuk pasaran Filipina didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Garage Metal dan Tech Black, dengan harganya ditetapkan sebanyak 162,000.00 Peso, bersamaan RM 13,973.22 mengikut kadar tukaran semasa. Selain daripada reka bentuknya yang menawan, spesifikasi yang ditawarkan juga tidak kurang menariknya.
Yamaha XSR155 mempunyai enjin berkapasiti 155cc (Single Cylinder, Liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves, VVA), dan dipadankan transmisi enam kelajuan bersama-sama sistem Assist & Slipper Clutch untuk tunggangan yang lebih mudah. Jumlah kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 19hp @ 10,000rpm dengan tork 14.7Nm @ 8,500rpm.
Yamaha XSR155 dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 10 liter, manakala berat motosikal hanya 134 kg (wet weight). Ketinggian tempat duduk berada pada paras 808 mm, dengan jarak kelegaan tanah minimum 170 mm. Dimensi panjang x lebar x tinggi untuk keseluruhan motosikal ialah 2,007 mm X 804 mm X 1,080 mm.
Beralih ke bahagian suspensi, fork depan jenis upside-down bergandingan dengan suspensi belakang jenis monoshock, sementara tayar depan dan belakang masing-masing hadir dalam siri 110/70-17M/C 54S (Tubeless) dan 140/70-17M/C 66S (Tubeless). Sistem brek disempurnakan oleh brek cakera di depan dan juga belakang.
Ciri-ciri menarik seterusnya yang melengkapi Yamaha XSR155 ini termasuklah casis Delta Box, lengan ayun aluminium, lampu depan dan belakang LED, speedometer digital LCD sepenuhnya, rekaan tempat duduk dan tangki bahan api yang bergaya klasik dan evergreen, di samping rekaan lampu depan dan belakang retro jenis bulat.
Melihat kepada penampilan keseluruhan Yamaha XSR155 model tahun 2020 di pasaran Filipina ini, sejujurnya jika model ini turut dilancarkan di pasaran Malaysia, ianya pasti akan mendapat sambutan hangat. Model seperti ini menawarkan kuasa yang seimbang dengan prestasi, di samping corak tunggangan yang santai dan selesa.