Bertempat di Bangkok International Motor Show 2020 baru-baru ini, Honda secara rasminya memperkenalkan sebuah model skuter maxi serba baharu, Honda Forza 350. Model tersebut bukan saja baru dilancarkan untuk pasaran Thailand, malah secara simulasi ianya juga merupakan penampilan global pertama untuk model berkenaan.
Honda Forza 350 serba baharu hadir dengan enjin eSP+ bersesaran 329.6cc yang canggih (4-stroke, Single Overhead Camshaft, 4-valve), bersama-sama sistem suntikan bahan api PGM-FI dan sistem Honda Selectable Tourque Control. Kuasa daripada enjin kemudiannya disalurkan ke permukaan jalan raya melalui transmisi automatik V-Belt.

Sistem suspensi untuk Honda Forza 350 terdiri daripada fork teleskopik di bahagian depan, yang bergandingan dengan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang. Sistem brek cakera dengan ABS di bahagian roda depan dan belakang melengkapkan ciri keselamatannya. Perjalanan jauh disempurnakan oleh tangki bahan api 11.7 liter.
Untuk pengendalian yang terkawal dan lincah, Honda Forza 350 dibekalkan tayar depan dalam siri 120/70-15 M/C 56P (Tubeless) dan tayar belakang dalam siri 140/70-14 M/C 62P (Tubeless), dipasangkan kepada rim aloi yang tampil dengan rekaan bergaya. Berat skuter premium tersebut berada pada paras 185 kg (net weight).
Menurut Honda, Forza 350 serba baharu didatangkan dengan pelbagai fungsi luar biasa, antaranya termasuklah skrin penghadang angin 150cm yang boleh dilaraskan, sistem lampu LED sepenuhnya, ESS (Emergency Stop Signal), panel instrumen digital dengan pelbagai fungsi moden, sistem kunci Honda Smart Key / Honda Smart Controller, serta pengecas USB dan pemegang botol terbina dalam di konsol depan.
Selain itu terdapat ruang simpanan barang-barang peribadi yang luas di bawah tempat duduk, cukup untuk memuatkan sehingga dua buah topi keledar. Untuk pasaran Thailand, Honda Forza 350 ditawarkan pada harga THB 173,500 (RM 23,386.15), dalam empat pilihan warna menarik iaitu hitam, biru-hitam, merah-hitam dan putih-biru.
















