Spekulasi pembangunan model terbaharu Yamaha YZF-R25M, dilengkapi enjin 250cc empat silinder

Sejak Kawasaki memperkenalkan model Ninja ZX-25R dan disusuli pelancarannya di pasaran Indonesia baru-baru ini, khabar angin atau spekulasi mengenai pembangunan model terbaharu Yamaha YZF-R25 dengan enjin empat silinder kian bertiup kencang.

Menurut maklumat dari seberang, model tersebut akan diberikan nama Yamaha YZF-R25M, di mana huruf M melambangkan posisi motosikal tersebut yang lebih bercirikan prestasi dan juga perlumbaan. Sudah tentu dengan enjin 250cc empat silinder, kuasa yang bakal dihamburkan akan melebihi kuasa model semasa YZF-R25 dua silinder.

Bagaimanapun ini semua hanyalah spekulasi awal, namun tidak mustahil kerana kali terakhir Yamaha memperkenalkan model 250cc empat silinder ialah pada tahun 1994, melalui model Yamaha FZR250R. Jika benar Yamaha YZF-R25M sedang dibangunkan, ianya lebih kepada kemunculan semula generasi baharu model era 1990an tersebut.

Pada masa yang sama, Yamaha sudah pasti tidak mahu ketinggalan di belakang Kawasaki, apatah lagi setelah melihat penerimaan pasaran terhadap Ninja ZX-25R yang begitu positif. Jadi inilah masa dan peluang yang sesuai untuk Yamaha kembali memperkenalkan model sport bike dengan enjin 250cc empat silinder di pasaran.

Selain Yamaha, pihak Honda juga dikhabarkan sedang membangunkan model Honda CBR250RR-R, versi lebih berprestasi dengan enjin 250cc empat silinder bagi model CBR250RR dua silinder. Jika benar Yamaha YZF-R25M dan Honda CBR250RR-R bakal muncul untuk bersaing dengan Ninja ZX-25R, pastilah ianya sangat menarik.

Sumber rujukan : Iwanbanaran.com

Galeri : 1993 Yamaha FZR250R

Galeri : 1994 Yamaha FZR250R