Yamaha FZR250R 1991 – 250cc, 4-silinder sebaris, 45hp

Sekitar tahun 1980an dan 1990an dahulu, keempat-empat syarikat pengeluar motosikal utama dari Jepun iaitu Kawasaki, Honda, Yamaha dan Suzuki, masing-masing memiliki jentera sendiri dengan enjin 250cc empat silinder. Bagi Yamaha, mereka mengeluarkan model FZR250 (1986 – 1988) dan FZR250R (1989 – 1994).

Yamaha FZR250R keluaran tahun 1991, seperti mana yang anda boleh lihat dalam galeri gambar di bawah, dikuasakan enjin bersesaran 249cc empat silinder sebaris (water-cooled 4-stroke, chain driven DOHC, 4 valves per cylinder), dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 45hp @ 16,000rpm dengan tork puncak 24.5 Nm @ 12,000rpm.

Ciri-ciri dan spesifikasi yang melengkapi FZR250R 1991 antaranya termasuklah binaan kerangka jenis Deltabox, sepasang fork depan teleskopik 38 mm, suspensi belakang tunggal (swingarm with mono-shock), brek cakera depan berkembar 282 mm, brek cakera tunggal belakang 220 mm, tangki bahan api 14 liter dan berat kering 145 kg. Tidak dilupakan ialah teknologi ekzos canggih Exhaust Ultimate Power Valve (EXUP).

Yamaha FZR250R 1991 dan model-model keluaran tahun sebelum dan selepasnya, ditawarkan untuk pasaran domestik Jepun, namun tidak dapat dipastikan sama ada model ini pernah dilancarkan di pasaran Malaysia secara rasmi. Sekarang, timbul persoalan sama ada Yamaha akan mengeluarkan kembali model sehebat FZR250R.

Ini kerana Kawasaki bakal melancarkan model terbaharu Ninja ZX-25R dengan enjin 250cc empat silinder tidak lama lagi. Yamaha ketika ini hanya menawarkan model YZF-R25 dengan enjin 250cc dua silinder, sudah tentu tidak mampu memberikan saingan kepada Ninja ZX-25R. Amat menarik sekali kalau Yamaha kembali terjebak dengan dunia jentera 250cc empat silinder, bertambah meriah dunia permotoran masa kini.

Pada pendapat anda, adakah Yamaha akan mengambil cabaran untuk mengeluarkan kembali FZR250R generasi baharu, atau mereka lebih selesa dengan model YZF-R25? Untuk anda yang mungkin menaruh harapan, saksikan dahulu gambar-gambar menarik Yamaha FZR250R keluaran tahun 1989, 1990 dan 1991 dalam galeri di bawah.

Sumber gambar : Yamaha Motor Co, Ltd.

Sumber rujukan : Bikeswiki.com

Galeri : 1991 Yamaha FZR250R

Galeri : 1990 Yamaha FZR250R

Galeri : 1989 Yamaha FZR250R

(Visited 219 times, 1 visits today)