Honda Philippines lancar Honda Supra GTR150 2020

Honda Philippines Inc., pada bulan November 2019 yang lalu secara rasminya melancarkan Honda Supra GTR150 2020 serba baharu, untuk pasaran Filipina. Tampil dengan dua pilihan warna iaitu Valiant Red dan Black, harga yang ditawarkan adalah sebanyak Php 102,900.00, bersamaan RM 8,928.01 mengikut kadar tukaran semasa.

Honda Supra GTR150 untuk pasaran Filipina lebih mirip kepada model Honda Supra GTR150 di pasaran Indonesia, berbanding model Honda RS150R di pasaran Malaysia. Tambahan pula di pasaran Filipina, Honda RS150R merupakan model naked, iaitu sama seperti model Honda Sonic 150R di pasaran Indonesia. Ketika ini didapati laman sesawang Honda Philippines tidak lagi memaparkan model Honda RS150R.

Berkenaan spesifikasi, Honda Supra GTR150 model tahun 2020 untuk pasaran Filipina dikuasakan enjin bersesaran 150cc (4-Stroke, 4 Valves, DOHC, Liquid-Cooled w/ Auto Fan) dengan kelengkapan sistem penghidup tendang dan elektrik. Jumlah janaan kuasa mencapai angka 15.6PS (11.5kW) @ 9,000rpm dengan tork maksimum 13.6Nm @ 6,500rpm. Enjin berprestasi itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan.

Tangki petrolnya mempunyai kapasiti maksimum 4.5 liter, dengan tahap penggunaan dikatakan berada pada paras 42 km/l. Beralih ke sistem suspensi, ianya terdiri daripada fork teleskopik di bahagian depan dan monoshock di bahagian belakang, manakala sistem brek cakera memastikan pemberhentian yang lebih cekap dan selamat.

Antara ciri-ciri menarik yang didatangkan bersama-sama Honda Supra GTR150 ini termasuklah lampu depan LED yang terang, panel meter digital sepenuhnya, rekaan lampu belakang dan lampu signal belakang jenis terpisah, tayar tanpa tiub, rekaan grafik yang agresif, dan dilengkapi sistem sensor (Bank Angle Sensor) yang akan mematikan enjin jika posisi motosikal berada pada sudut melebihi 51°.