Untuk pasaran domestik Jepun, Yamaha Ténéré 700 ABS model tahun 2020 terbaharu secara rasminya dilancarkan pada tarikh 05hb. Jun 2020 yang lepas. Model kembara dengan ciri-ciri tahan lasak tersebut ditawarkan pada harga sebanyak 1,265,000 Yen, bersamaan RM 50,242.98 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.
Yamaha Ténéré 700 ABS dikuasakan enjin bersesaran 688cc (In-line, 2-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valves) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 72PS @ 9,000rpm dengan tork puncak 67Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan isian penuh 16 liter untuk perjalanan lebih jauh, manakala berat keseluruhan motosikal berada pada paras 205 kg.
Antara ciri-ciri utama yang menjadi kelebihan Yamaha Ténéré 700 ABS untuk pasaran Jepun ini ialah penggunaan kerangka jenis double cradle yang kukuh dan ringan, fork depan jenis terbalik dengan diameter 43mm, sistem suspensi belakang (link type Monochrome suspension) yang direka semula dan sistem brek cakera dengan ABS.
Selain itu, ianya juga dilengkapi empat lampu depan LED, lampu belakang yang juga LED, paparan meter digital LCD yang mudah dibaca, rim berjejari aluminiumum yang ringan, tayar berjenama Pirelli (SCORPION RALLY STR) dengan saiz 21 inci (depan) dan 18 inci (belakang), dan tempat duduk rata yang fleksibel dan mudah diselaraskan.
Pilihan warna yang ditawarkan pula tiga kesemuanya iaitu Matte Dark Gray, White dan Matte Black. Baru-baru ini untuk pasaran Eropah, Yamaha Ténéré 700 Rally Edition 2020 telah dilancarkan, yang mana ianya tampil istimewa dengan warna Sky Blue sebagai penghormatan kepada model Yamaha XT600Z Ténéré keluaran tahun 1983.