Honda Supra GTR150 2019 di pasaran Indonesia

Di pasaran negara jiran Indonesia, PT. Astra Honda Motor menawarkan model Honda Supra GTR150, kembar kepada model Honda RS150R di pasaran Malaysia. Setakat ini, Honda Supra GTR150 yang ditawarkan merupakan model keluaran tahun 2019, hadir dengan beberapa kemaskini baharu sejak bulan September tahun lepas.

Menurut PT. Astra Honda Motor, Honda Supra GTR150 2019 kini tampil segar dengan beberapa rekaan baharu yang lebih agresif dan sporty, melibatkan bahagian Front Cover, Tail Light dan di bahagian Fender belakang dengan lampu signal terpisah. Panel meter LCD juga kini tampil dengan rekaan sporty baharu yang bercirikan Full Digital.

Aspek penjanaan kuasa Honda Supra GTR150 kekal ditugaskan kepada enjin 150cc DOHC 4-valve yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Ini membolehkan model tersebut dibekalkan kuasa maksimum sebanyak 16.3PS @ 9,000rpm dan tork puncak 14.2Nm @ 6,500rpm, dengan kelajuan maksimumnya mencapai 122 km/j.

Walaupun berprestasi tinggi, Honda Supra GTR150 terbaharu ini dikatakan tetap menawarkan tahap penggunaan bahan api yang cekap pada jarak sehingga 42.2 km/liter, berdasarkan metod ECE R40 (berdasarkan ujian dalaman pihak AHM). Selain itu, ianya juga mesra alam dengan pematuhan piawaian standard emisi Euro 3.

Untuk perjalanan yang selesa, meyakinkan dan lebih selamat, Honda Supra GTR150 mempunyai posisi tunggangan yang tegak (Upright Riding Position), kerangka Twin Tube Frame yang kukuh, bersama-sama tayar tubeless depan (90/80) dan belakang (120/70) yang berukuran besar, termasuklah brek cakera depan dan belakang.

Di samping itu, Honda Supra GTR150 juga hadir dengan ciri unggul seperti lampu depan LED dengan perubahan garnis berwarna hitam yang memberikan kesan agresif, serta multi reflektor dual layer yang mampu memberikan pencahayaan yang lebih luas ketika menunggangnya pada waktu malam.

Honda Supra GTR150 boleh didapati dalam empat pilihan warna yang menarik iaitu Sporty Spartan Red, Exclusive Matte Silver, Sporty Gun Black dan Exclusive Matte Red. Harga yang ditawarkan (On The Road, DKI Jakarta) bermula dari Rp. 23,435,000.00, bersamaan RM 6,952.40 berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa.

Ketika ini di pasaran Vietnam, Honda menawarkan model terbaharu Honda Winner X yang tampil dengan rekaan serba baharu serta spesifikasi yang lebih canggih. Buat masa sekarang belum dapat dipastikan bilakah model tersebut akan masuk ke pasaran Indonesia dan juga Malaysia, bagi menggantikan Supra GTR150 dan RS150R.

(Visited 185 times, 1 visits today)