Untuk pasaran Indonesia, PT Astra Honda Motor masih menawarkan model Honda Sonic 150R 2019, yang telah diperkenalkan dengan corak grafik baharu lebih segar dan sporty pada bulan Oktober tahun lepas. Mungkin dalam masa beberapa bulan lagi model ini akan menerima kemaskini baharu sebagai model tahun 2020 atau 2021.
Honda Sonic 150R model tahun 2019 dikuasakan enjin empat lejang, satu silinder, DOHC 4-valves dan bersesaran 149.16cc, yang kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan dengan klac manual. Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api PGM-FI dan juga sistem penyejukan cecair. Jumlah janaan kuasa yang dihasilkan mencapai angka 16PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 13.5Nm @ 6,500rpm.
Sistem penghidup motosikal tersebut terdiri daripada jenis tendang dan elektrik, tangki bahan api mempunyai isian penuh 4 liter dan beratnya ialah 114 kilogram (curb weight). Menurut PT Astra Honda Motor, Honda Sonic 150R menawarkan penjimatan bahan api yang cukup baik, serta mesra alam sekitar dengan pematuhan piawaian emisi Euro 3.
Ciri-ciri lain yang melengkapi model lincah dan tangkas ini antaranya seperti suspensi depan teleskopik, suspensi belakang tunggal, sistem brek cakera depan dan belakang, tayar depan 70/90-17 38P (tubeless), tayar belakang 80/90-17 50P (tubeless), lampu depan LED dengan rekaan tajam dan panel meter digital dengan informasi lengkap.
Salah satu ciri menarik lain yang sesuai dengan ekspresi anak muda menurut PT Astra Honda Motor, ialah kehadiran shroud (panel penutup enjin di bahagian sisi bawah) dengan rekaan tajam pada Honda Sonic 150R yang boleh dipasang dan dibuang dengan mudah (plug and play), bersesuaian dengan gaya dan minat masing-masing.
Honda Sonic 150R ketika ini ditawarkan pada harga Rp 22,780,000 (OTR) DKI Jakarta (bersamaan RM 6,919.37 mengikut kadar semasa) bagi model berwarna Energetic Red dan Activo Black, dan Rp 23,180,000 (OTR) DKI Jakarta (bersamaan RM 7,040.86 mengikut kadar semasa) untuk warna Aggresso Matte Black dan Honda Racing Red.