Yamaha Cygnus-X model tahun 2020 tampil lebih sporty

Skuter Yamaha Cygnus-X model tahun 2020 terbaharu secara rasminya berada di pasaran Jepun mulai 10hb. April 2020 yang lalu. Ianya dilengkapi enjin 124cc (Single cylinder, Air-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve) dengan padanan transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa maksimum 9.8PS @ 7,500rpm dan tork 9.9Nm @ 6,000rpm. Enjin tersebut turut dilengkapi sistem suntikan bahan api (FI) yang cekap.

Yamaha Cygnus-X mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti penuh 6.5 liter, berat 119 kg, ketinggian tempat duduk 775 mm dan jarak kelegaan bumi minimum 115 mm. Menurut Yamaha, antara kelebihan yang ditawarkan oleh model tersebut ialah prestasi pecutan yang baik dan kecekapan penggunaan bahan api, manakala kerangka yang ringan dan kukuh pula menyumbang kepada pengendalian yang mudah dan lincah.

Menambahkan lagi ciri-ciri terbaiknya, Yamaha Cygnus-X turut dilengkapi sistem lampu depan dan belakang jenis LED, panel meter digital LCD bermaklumat, sistem brek cakera depan dengan diameter 245 mm, brek cakera belakang dengan diameter 200 mm, serta tayar depan dan belakang tanpa tiub, masing-masing dalam siri 110/70-12 47L dan 120/70-12 51L yang menyumbang kepada kestabilan tunggangan.

Kelebihan lain yang ditawarkan ialah ruang storan di bawah tempat duduk dengan keluasan 29 liter, poket depan yang boleh diisi botol plastik 500 ml, output pengecas DC 12V untuk kegunaan telefon pintar, dan sistem kunci dengan penutup yang lebih selamat bagi mencegah kecurian dan kerosakan yang mungkin boleh berlaku. Di samping itu, ia juga dilengkapi port pengisian petrol di bahagian depan yang mudah.

Untuk model tahun 2020, Yamaha Cygnus-X hadir dalam dua pilihan warna terbaharu biru dan putih, untuk penampilan yang lebih bergaya dan sporty. Dua warna terdahulu merah dan hitam masih dikekalkan jualannya untuk musim ini. Untuk pasaran Jepun, harga yang ditawarkan untuk produk keluaran Yamaha Motor Taiwan ini adalah sebanyak 335,500 Yen, bersamaan RM 13,345.94 mengikut kadar tukaran semasa.