Pada Julai 2018, Yamaha YZF-R15 V3.0 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 11,988.00

Tidak lengkap rasanya blog Arena Motosikal jika tidak mempunyai artikel mengenai model sportbike Yamaha YZF-R15. Oleh itu, artikel ini akan memberikan maklumat serba ringkas mengenai model berkenaan, sebagai rujukan pada masa depan.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha YZF-R15 secara rasminya dilancarkan pada tarikh 28hb. Julai 2018, sewaktu berlangsungnya acara Karnival Gen Blu Yamaha yang diadakan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Ianya merupakan generasi ketiga dan lebih dikenali dengan nama Yamaha YZF-R15 V3.0. Bagi generasi pertama dan kedua (V1.0 dan V2.0), kedua-duanya tidak pernah dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

Yamaha YZF-R15 dilengkapi enjin bersesaran 155cc (Single Cylinder, 4-Stroke, SOHC, VVA) yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 19hp (14.2kW) @ 10,000rpm dengan tork puncak 14.7Nm @ 8,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 11 liter, manakala berat motosikal mencapai angka 137 kg (wet weight).

Yamaha YZF-R15 dibangunkan di atas casis Deltabox yang kukuh, dilengkapi fork depan jenis terbalik (upside-down) berwarna emas, suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun aluminium ringan, sistem brek cakera depan dan belakang yang mantap, dan sepasang tayar berukuran lebar yang menjamin kestabilan tunggangan.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi model berkenaan termasuklah sistem lampu depan LED jenis berkembar, lampu belakang LED, lampu kecemasan (hazard lamps), panel meter digital dengan ciri pelbagai fungsi, dan tiga pilihan warna yang menarik iaitu kuning, hitam dan biru. Sewaktu pelancaran, harga jualan yang ditetapkan adalah sebanyak RM 11,988.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Secara keseluruhannya, Yamaha YZF-R15 V3.0 model tahun 2018 yang dilancarkan itu tampil dengan rekaan yang menarik dan sporty, di samping enjinnya yang berprestasi. Namun begitu sebagai sebuah model dalam segmen sportbike, ciri tunggangannya yang bergaya perlumbaan mungkin bukan sesuai untuk semua orang.

Pujian harus diberikan kepada pihak Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM), kerana akhirnya mereka membuat keputusan untuk membawa masuk model tersebut ke pasaran Malaysia. Mungkin selepas ini giliran pihak Boon Siew Honda Sdn. Bhd. pula untuk membawa masuk model Honda CBR150R ke pasaran tempatan.