Antara model motosikal popular keluaran Yamaha yang pernah ditawarkan di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu ialah Yamaha SS Two. Menurut maklumat daripada Wikipedia, Yamaha SS Two dilancarkan pada tahun 1997, diperkenalkan dalam dua varian iaitu Yamaha SS Two Racing Spirit dan Yamaha SS Two Dual Clutch.
Bagaimanapun hayat pengeluaran Yamaha SS Two Racing Spirit dikatakan tidak lama, berakhir pada tahun 1998 dan hanya pengeluaran Yamaha SS Two Dual Clutch sahaja yang diteruskan penjualannya. Bagaimanapun tahun akhir penjualannya di pasaran tempatan tidak diketahui dengan tepat, mungkin sekitar tahun 2003.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada laman sesawang Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) pada tahun 2003 yang lalu, Yamaha SS Two Dual Clutch pada ketika itu ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 5,705.90, manakala harga jualan atas jalan (On The Road) pula adalah sebanyak RM 6,020.15.
Yamaha SS Two Dual Clutch dilengkapi enjin bersesaran 110.4cc (air-cooled, 2-stroke, reed valve, forward inclined, single cylinder), yang menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 14PS @ 8,000rpm dengan tork 13.2Nm (1.35 kgf-m) @ 7,000rpm. Enjin tersebut kemudiannya digandingkan dengan transmisi empat kelajuan.
Antara kelebihan Yamaha SS Two Dual Clutch ialah ianya dilengkapi klac tangan semi automatik yang mudah untuk dikendalikan, berbeza dengan varian Yamaha SS Two Racing Spirit yang dilengkapi klac tangan manual sepenuhnya. Bagi individu yang berjiwa perlumbaan, sudah tentu Yamaha SS Two Racing Spirit menjadi pilihan.
Selain itu Yamaha SS Two Dual Clutch, sama seperti model terdahulu Yamaha 110SS, dikatakan mempunyai daya pecutan awal yang pantas dan kelajuan maksimum yang memuaskan. Enjin dua lejangnya menawarkan jumlah kuasa dan tork yang mencukupi, sesuai dengan berat badannya yang berada pada paras hanya 95 kg (dry weight).