Honda CBR150R model tahun 2020 di pasaran Indonesia, tampil segar dengan tiga pilihan warna baharu

Pada awal tahun ini, PT Astra Honda Motor (AHM) telah memperkenalkan tiga warna baharu untuk model sportbike popular Honda CBR150R model tahun 2020 di pasaran Indonesia. Ketiga-tiga warna tersebut ialah Dominator Matte Black, Matte Black dan Victory Black Red yang juga tampil dengan stripe rekaan terbaharu yang sporty.

Menurut AHM, Honda CBR150R yang memiliki DNA “Total Control” diperkenalkan di pasaran Indonesia sejak tahun 2016. Pembaharuan pada model berkenaan akan terus dilakukan agar sejajar dengan trend terkini yang selama ini menjadi inspirasi AHM dalam melakukan pengembangan untuk sesebuah produk keluarannya.

Honda CBR150R 2020 terbaharu ini masih dikuasakan enjin empat lejang yang bersesaran 149.16cc, dengan ciri DOHC, 4-valve dan sistem penyejukan jenis cairan, seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan yang lancar. Prestasi tinggi yang dihasilkan mencapai angka 17.1PS @ 9,000rpm dengan tork 14.4Nm @ 7,000rpm.

Ciri-ciri menarik yang dibekalkan termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, paparan panel meter digital yang berinformasi, suspensi depan dan belakang yang boleh dilaras, sistem brek ABS (untuk varian ABS) dengan penambahan ciri Emergency Stop Signal (ESS), tangki petrol dengan isian penuh 12 liter dan berat hanya 135 kg (curb weight).

Berikut ialah senarai harga untuk Honda CBR150R 2020 di pasaran Indonesia, berdasarkan varian dan juga pilihan warna yang ditawarkan :

  • Dominator Matte Black (Standard) : Rp 35.633.000
  • Dominator Matte Black (ABS) : Rp 39,633,000
  • Matte Black (Standard) : Rp 34,934,000
  • Victory Black Red (Standard) : Rp 34,934,000
  • Victory Black Red (ABS) : Rp 38,934,000
  • Honda Racing Red (Standard) : Rp 35.633.000
  • Honda Racing Red (ABS) : Rp 39,633,000
  • MotoGP Edition (ABS) : Rp 39,834,000

Sebagai perbandingan jika ditukarkan kepada nilai Ringgit Malaysia, harga terendah yang ditawarkan iaitu Rp 34,934,000 adalah bersamaan dengan RM 10,488.95, manakala harga tertinggi Rp 39,834,000 bersamaan dengan RM 11,960.17, mengikut kadar tukaran semasa. Semua harga tersebut adalah harga On The Road (Jakarta).