Honda GTR150 Supra di pasaran Greece dilengkapi ABS

Di pasaran Malaysia, Honda RS150R merupakan salah sebuah model moped popular yang ditawarkan oleh pihak Honda ketika ini, begitu juga dengan model Honda Supra GTR150 di pasaran Indonesia. Untuk pasaran Filipina, model tersebut yang juga dikenali dengan nama Honda Supra GTR150, telah dilancarkan pada November 2019.

Untuk pasaran Greece di rantau Eropah pula, ianya dikenali dengan nama Honda GTR150 Supra, dipercayai dilancarkan di pasaran negara tersebut sejak awal tahun 2019. Berbanding model yang ditawarkan di rantau Asia Tenggara, Honda GTR150 Supra mempunyai kelebihannya yang tersendiri apabila dilengkapi sistem brek ABS.

Berdasarkan maklumat di dalam laman sesawang Honda Motorcycles Greece, sistem brek cakera Honda GTR150 Supra di bahagian roda depan dan belakangnya dilengkapi sistem 2-channel ABS. Secara teknikalnya, sistem brek dengan ABS menawarkan keupayaan pemberhentian yang lebih cekap dan selamat berbanding tanpa ABS.

Aspek teknikal lain termasuk di bahagian enjin didapati masih sama, dikuasakan enjin empat lejang DOHC bersesaran 149.2cc yang menawarkan kuasa maksimum 15.1hp @ 9,000rpm dengan tork maksimum 12.6Nm @ 6,500rpm. Enjin yang mematuhi piawaian Euro 4 itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan yang lancar.

Melihat kepada penampilan Honda GTR150 Supra di pasaran Greece ini, ianya masih dilengkapi panel meter yang menggabungkan ciri analog dan digital, sedangkan Honda RS150R 2020 ketika ini telah menggunakan panel meter digital baharu. Pilihan warna yang ditawarkan ialah Spartan Red, Sporty Gun Black dan Exclusive Matte Red.

Harga yang ditawarkan di pasaran Greece adalah sebanyak € 3,490.00 untuk model berwarna Spartan Red dan Sporty Gun Black, manakala bagi model berwarna Exclusive Matte Red, harganya adalah sebanyak € 3,590.00. Kedua-dua harga tersebut bersamaan RM 16,800.83 dan RM 17,282.23, mengikut kadar tukaran semasa.