Penampakan Yamaha Exciter RC 155 VVA 2020 (Yamaha Y15ZR V3)

Akhirnya setelah agak lama menjadi bahan spekulasi, kemunculan beberapa keping gambar penampakan Yamaha Exciter RC 155 VVA 2020 ini secara tidak langsung telah membuktikan bahawa ianya benar-benar wujud. Model ini juga mungkin akan dikenali dengan nama Yamaha Y15ZR V3 apabila ianya dilancarkan di pasaran Malaysia nanti.

Menurut maklumat awal, unit yang berjaya dirakamkan ini dikhabarkan telah tiba di Malaysia, khusus untuk Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd., mungkin untuk sesi ujian di jalan raya. Ini bermakna pelancaran Exciter RC 155 VVA 2020 ini untuk pasaran Vietnam boleh dikatakan sudah semakin dekat, sementara untuk pasaran Malaysia, seperti kebiasaannya akan sedikit terlewat, namun tidaklah terlalu lama.

Berdasarkan apa yang dapat dilihat, model terbaharu ini sah akan dilengkapi beberapa teknologi dan ciri-ciri baharu yang menarik, seperti mana dalam senarai berikut :

  • VVA (Variable Valve Actuation)
  • Assist & Slipper Clutch
  • Transmisi enam kelajuan
  • Sistem kunci Keyless
  • Panel meter baharu (paparan informasi lebih canggih)
  • Rekaan badan baharu atau perubahan kosmetik baharu
  • Rekaan lampu depan baharu
  • Rekaan lampu belakang baharu

Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian, Exciter RC 155 VVA ini masih belum dilengkapi fork depan upside-down (USD), tiada sistem brek ABS dan lampu signal masih belum LED. Selain daripada maklumat berdasarkan gambar-gambar tersebut, jumlah kuasa enjin juga masih belum dapat dipastikan dengan tepat.

Namun, enjin 155cc yang melengkapi Exciter RC 155 VVA ini dipercayai sama seperti yang ada pada model YZF-R15 V3, jadi ini bermakna ianya mampu menjana sehingga 19.3PS (14.2kW) @ 10,000rpm dengan tork maksimum 14.7Nm @ 8,500rpm. Sebagai perbandingan, Yamaha Exciter 150 ketika ini menghasilkan kuasa maksimum pada paras 15.4PS @ 8,500rpm dan tork 13.8Nm @ 7,000rpm.

Untuk maklumat lebih lengkap dan rasmi, buat masa ini kita perlu menunggu pelancaran model ini di pasaran Vietnam tidak lama lagi. Apa yang pasti, penampakan gambar-gambar spyshot Yamaha Exciter RC 155 VVA 2020 ini telah membuktikan bahawa model ini sememangnya wujud dan bukan lagi hanya sekadar spekulasi.

Sumber gambar : Mekanika.com.my