Pada September 2006, Modenas X-cite 130 dilancarkan

Peminat motosikal tempatan pastinya masih mengingati Modenas X-cite 130, sebuah model moped keluaran Modenas yang dilancarkan pada 12hb. September 2006. Model tersebut dilancarkan untuk bersaing dengan model popular Yamaha 135LC, yang dilancarkan lebih awal di pasaran tempatan pada bulan Februari tahun yang sama.

Modenas X-cite untuk pasaran Malaysia sebenarnya adalah model yang sama untuk pasaran Indonesia dan Thailand, dikenali dengan nama Kawasaki ZX 130. Untuk pasaran Malaysia, Modenas X-cite kurang mendapat sambutan daripada para pembeli, walau pun model tersebut hadir dengan spesifikasi yang agak menarik dan unik.

Dari segi reka bentuk, diakui Modenas X-cite mempunyai rekaan yang unik terutama di bahagian depannya. Ini kerana tangki minyak yang kebiasaannya berada di bawah tempat duduk, telah dipindahkan ke bahagian dada motosikal. Tangki minyak tersebut mempunyai kapasiti 3.8 liter. Kelebihannya ialah Modenas X-cite berupaya menawarkan ruang bagasi di bawah tempat duduk dengan keluasan maksimum 16.3 liter.

Modenas X-cite dilengkapi enjin empat lejang satu silinder berkapasiti 130cc, dan digandingkan dengan kotak gear empat kelajuan jenis rotary. Kuasa maksimumnya mencapai 9.6hp (7.18 kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 10.7Nm @ 5,500rpm. Enjin tersebut mempunyai sistem penyampaian bahan api karburator, sistem penyejuk jenis udara dan sistem penghidup daripada jenis tendang dan elektrik.

Ciri-ciri menarik pada Modenas X-cite termasuklah set kekunci 4 dalam 1, panel peraga dengan tachometer, lampu hadapan dengan dwi-bulb, lampu belakang yang bergaya, omboh dengan Molybdenum Coating, blok silinder diproses secara In Mould Cylinder Lyner (IMCL), sistem minyak pelinciran DFLS (Double Filter Lubrication System), rubber mounting pada enjin untuk mengurangkan gegaran dan bateri bebas selenggara.

Sistem brek Modenas X-cite merupakan brek cakera di bahagian hadapan dan brek dram di bahagian belakang. Sistem suspensinya pula terdiri daripada fork teleskopik di bahagian depan dan penyerap hentak berkembar (trailing swing) di bahagian belakang. Sewaktu dilancarkan, dua pilihan warna yang ditawarkan ialah merah dan biru, dengan harga jualan yang disyorkan ketika itu sebanyak RM 4,979.05 (harga OTR).

Selain daripada pasaran tempatan, Modenas X-cite juga pernah dijual di pasaran Greece, dengan beberapa peningkatan yang lebih menarik. Antaranya ialah kapasiti enjin yang dinaiktaraf daripada 130cc kepada 135cc, didatangkan sport rim yang bergaya dan sistem brek belakang dram telah digantikan dengan brek jenis cakera.

Oleh kerana jualan Modenas X-cite yang agak kurang memberangsangkan di pasaran tempatan, pada Mac 2009, Modenas telah melancarkan model baharu Modenas GT128, yang mana ianya direka semula daripada casis Modenas X-cite. Ternyata ianya merupakan langkah bijak kerana GT128 mendapat sambutan hangat daripada pembeli.