Pada Mac 2009, Modenas GT128 dilancarkan di pasaran Malaysia

Pada tahun 2006, Modenas telah melancarkan model baharu Modenas X-cite 130 untuk pasaran tempatan. Bagaimanapun model tersebut kurang mendapat sambutan daripada pembeli. Oleh itu Modenas kemudiannya membangunkan sebuah model baharu yang lain, dengan asasnya ialah daripada model Modenas X-cite 130 itu sendiri.

Model baharu tersebut diberi nama Modenas GT128, dan secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tarikh 23hb. Mac 2009. Modenas GT128 tampil dengan reka bentuk baharu yang lebih sporty dan agresif, dilengkapi enjin bersesaran 128cc yang dipadankan dengan transmisi empat kelajuan jenis berputar. Kuasa maksimumnya mencapai 9.6hp (7.18 kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 10.7Nm @ 5,500rpm.

Modenas GT128 menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik yang menjadi perhatian ramai ketika ianya dilancarkan, antaranya termasuklah enjin yang bertenaga, lampu hadapan multi-reflektor dwi-mentol yang terang, rekaan meter digital elektronik dengan takometer, sistem brek cakera di depan dan belakang, serta rekaan lampu belakang jenis kristal yang kelihatan menarik dan padat apabila dipandang dari belakang.

2011 Modenas GT135 di pasaran Greece

Bagaimanapun Modenas GT128 juga mempunyai beberapa kekurangan, antaranya seperti enjinnya masih menggunakan sistem penyampaian bahan api konvensional jenis karburator, tiada sistem penyejukan cecair, tidak dilengkapi sistem klac manual dan suspensi belakang bukan dari jenis monoshock. Bagaimanapun pada harga asas sebanyak RM 4,888.00 sahaja, Modenas GT128 tetap berbaloi untuk dimiliki.

Oleh kerana reka bentuknya yang menarik, prestasi yang memuaskan dan harga yang berpatutan, Modenas GT128 telah menjadi model moped terlaris pada tahun 2009, dan telah memberikan saingan sengit kepada model Yamaha 135LC V1 yang ketika itu sangat popular. Modenas GT128 juga telah dieksport ke pasaran Greece dengan nama baharu Modenas GT135, dan turut popular di pasaran negara Eropah tersebut.

Ketika ini Modenas tidak lagi menawarkan GT128, namun model ini kekal dikenang sebagai salah sebuah model moped berprestasi yang pernah dikeluarkan oleh syarikat pengeluar motosikal nasional itu. Diharapkan pada masa akan datang, Modenas akan kembali mengeluarkan model moped baharu dengan ramuan prestasi dan kelajuan.

Galeri : 2014 Modenas GT128 Edisi Harimau Malaya

(Visited 404 times, 1 visits today)