SYM VF185 2019 di pasaran Greece dilengkapi dengan sistem brek ABS

Untuk pasaran Greece, SYM telah melancarkan model VF185 sejak bulan Februari 2019. Model tersebut sama seperti model SYM VF3i 185 yang dijual di pasaran Malaysia, namun SYM VF185 tampil dengan kelebihan sistem brek ABS. Sementara itu untuk pasaran Vietnam, SYM Star SR 170 juga dilengkapi dengan sistem brek ABS.

SYM VF185 di pasaran Greece dilengkapi enjin bersesaran 183cc dengan kuasa maksimum 18PS @ 8,500rpm dan tork puncak 16.4Nm @ 7,000rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem sejukan cecair dan penyampaian bahan api EFI, yang kemudiannya digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan bersama-sama klac tangan.

Enjin bertaraf EURO4 itu mempunyai tahap ekonomi 2.2 liter / 100km. Dengan tangki bahan api maksimum 6 liter, ianya dikatakan mampu mencapai jarak perbatuan sehingga 270 km. SYM VF185 dilengkapi lampu DRL jenis LED, termasuklah lampu signal dan lampu belakang juga LED. Paparan instrumen meter pula merupakan gabungan di antara digital dan takometer (penunjuk RPM) jenis analog.

Sistem brek cakera 250mm di bahagian depan dan 200mm di bahagian belakang menawarkan tahap keselamatan dan kecekapan yang maksimum apabila digabungkan dengan ABS. Sistem ABS roda depan dilampirkan pada roda belakang supaya reaksi ABS pada roda adalah berkadaran dengan maklumat yang dihantar oleh pergerakan roda belakang. Ianya tercapai melalui pemasangan sensor ABS pada roda belakang.

Sistem suspensi depan SYM VF185 menggunakan fork teleskopik 80mm dengan diameter 30mm, sementara di bahagian belakang terdapat suspensi monoshock. Untuk keselamatan dan keselesaan maksimum, roda depan dan belakang masing-masing dipasangkan tayar tanpa tiub dalam siri 90/80-17 dan 120/70-17.

Berdasarkan maklumat daripada laman sesawang SYM Greece, harga yang ditawarkan untuk SYM VF185 adalah sebanyak 2,895 € (the price does not include shipping and license plate costs), bersamaan RM 13,451.80 mengikut kadar tukaran semasa.