Yamaha RX-Z 135 model tahun 1985

Motosikal dua lejang legenda Yamaha RX-Z di pasaran Malaysia ketika ini telah menjadi salah satu contoh model evergreen yang masih diminati ramai sehingga kini. Jadi tidak hairanlah versi terpakai model tersebut mampu dijual pada harga yang tinggi dan tidak masuk akal, terutamanya untuk model yang masih lagi berada dalam keadaan asli.

Menurut maklumat daripada Wikipedia, Yamaha RX-Z dikeluarkan sejak tahun 1985 sehinggalah pengeluarannya dihentikan pada tahun 2011. Namun tidak pasti sama ada maklumat ini tepat untuk pasaran Malaysia sahaja, atau juga terpakai untuk pasaran luar negara. Antara kelebihan RX-Z ialah enjinnya yang berkuasa walaupun hanya berkapasiti 133cc, dan dipadankan sama ada transmisi 5-kelajuan atau 6-kelajuan.

Bagi model keluaran tahun 1985 seperti mana paparan gambar-gambar dalam galeri di bawah, ianya masih lagi dilengkapi brek jenis dram dan dipercayai sistem transmisinya juga masih 5-kelajuan. Sistem ekzosnya juga masih bergaya klasik dengan warna hitam sepenuhnya, termasuklah rekaan lampu signal dan fairing kepala bersaiz kecil.

Pilihan warna pula lima kesemuanya dengan pelekat grafik retro. Sayang sekali kalau RX-Z 1985 ini jika masih ada, telah diubahsuai agar menjadi versi yang lebih moden. Keluaran pertama seperti ini sepatutnya dibiarkan kekal asli untuk tatapan peminat motosikal masa kini agar mereka kenal asal-usul sebenar keluaran pertama RX-Z.

(Visited 1,087 times, 1 visits today)