Yamaha RZR 135 suatu ketika dahulu merupakan kembar kepada model Yamaha RX-Z 135, namun model ini hanya dijual di pasaran Indonesia, Taiwan dan beberapa negara lain. Tempoh keluarannya dikatakan bermula sejak tahun 1987, namun tiada pula maklumat tepat mengenai tahun bilakah pengeluarannya ditamatkan secara rasmi.
Spesifikasi Yamaha RZR sebenarnya adalah sama sahaja dengan model Yamaha RX-Z, cuma ianya dilengkapi fairing penuh berbanding RX-Z yang merupakan model naked. Ianya dikuasakan enjin 133cc dengan transmisi 6-kelajuan. Sistem brek standardnya ialah brek cakera di bahagian roda depan dan dram di bahagian roda belakang. Suspensi depan jenis teleskopik dan absorber belakang merupakan jenis berkembar.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari internet, dikatakan Yamaha RZR di pasaran Indonesia suatu ketika dahulu kurang laris berbanding Yamaha RX-Z, namun tidak dapat dipastikan maklumat ini tepat atau tidak. Apa yang pasti, RZR ketika ini sudah menjadi sebuah model legenda dan harga terpakainya juga dikatakan meningkat.