MV Agusta Rush 1000 2020 tampil unik dan ekstrem

Sewaktu pameran di EICMA 2019 dalam bulan November yang lepas, MV Agusta telah membuat kejutan dengan mempamerkan model terbaharu MV Agusta Rush 1000 yang tampil dengan rekaan unik lagi ekstrem. Model streetfighter ini diasaskan daripada model Brutale 1000 RR, bermakna ianya juga dilengkapi enjin berprestasi tinggi.

Dilengkapi enjin dalam sesaran 998cc (four cylinder, 4 stroke, 16 valve, “D.O.H.C”, radial valve) dengan gandingan transmisi enam kelajuan, ianya menjana prestasi 208hp @ 13,000rpm dengan tork puncak 116.5Nm @ 11,000rpm. Dengan berat kering hanya 186 kg, jentera naked ini mampu melakukan pecutan maksimum melebihi 300 km/j.

Beralih ke bahagian suspensi, ianya ditugaskan kepada suspensi berjenama terkenal Öhlins, manakala sistem brek ABS didatangkan dengan angkup Brembo Stylema bersama-sama cakera berkembar 320mm di bahagian depan. Brek Brembo di bahagian belakang pula digandingkan dengan cakera tunggal berdiameter 220mm.

Antara ciri-ciri menarik dan unik yang ada pada Rush 1000 ialah lampu depan LED berbentuk bulat, yang diinspirasikan daripada model MV Agusta RSV #1. Juga kelihatan sistem ekzos daripada SC-Project yang eksklusif, bersama-sama rekaan ekor belakang yang boleh dikatakan luar biasa dan rim belakang yang dilengkapi penutup.

Sistem elektronik yang dibekalkan untuk Rush 1000 antaranya ialah launch control, front lift control, traction control, empat mod tunggangan dan sistem quick shifter MV EAS 2.1 (Electronically Assisted Shift Up & Down). Pilihan warna yang tersedia hanya satu sahaja iaitu Dark Metallic Matt Grey / Mamba Red Matt Carbon / Metallic Bronze.

Harga yang ditawarkan untuk Rush 1000 model tahun 2020 ini di pasaran Eropah bermula dari 33,990 Euro, bersamaan RM 157,399.46 mengikut kadar tukaran semasa.

(Visited 382 times, 1 visits today)