Ini ialah model naked MV Agusta Brutale 1000 RR model tahun 2020, diperkenalkan pada penghujung tahun lepas di EICMA 2019. Ianya diasaskan daripada model Brutale 1000 Serie Oro yang muncul setahun lebih awal, namun dengan beberapa kemaskini dan perubahan baharu agar harganya menjadi lebih mampu milik.
Sebagai perbandingan, Brutale 1000 Serie Oro dijual pada harga bermula dari 42,990 Euro (bersamaan RM 198,145.21 mengikut kadar semasa), manakala Brutale 1000 RR boleh dimiliki pada harga bermula dari 29,990 Euro (RM 138,226.91 mengikut kadar semasa). Perbezaan harga di antara kedua-duanya sememangnya nampak ketara.
Dua pilihan warna yang ditawarkan untuk Brutale 1000 RR ialah Metallic Avio Grey / Fluo Yellow / Dark Metallic Matt Grey / Matt Carbon dan Ago Red / Dark Metallic Matt Grey / Matt Carbon. Mempunyai spesifikasi tinggi dan premium, ianya dilengkapi sistem brek Brembo dengan ABS dan pakej suspensi daripada jenama terkenal Öhlins.
Kelengkapan lain termasuklah paparan panel TFT 5 inci generasi kedua, sistem lampu LED, sistem Ride By Wire dengan empat mod tunggangan dan kawalan traksi dengan lapan talaan, yang dibantu oleh unit IMU. Front Lift Control, Launch Control dan sistem quick shifter up & down antara yang melengkapkan pakej elektroniknya.
Dari segi prestasi, Brutale 1000 RR 2020 ini dikuasakan enjin 998cc (four cylinder, 4 stroke, 16 valve) dengan transmisi enam kelajuan, menghamburkan kuasa maksimum sehingga 208hp @ 13,000rpm dengan tork puncak 116.5Nm @ 11,000rpm. Dengan berat kering 186 kg, jentera streetfighter ini mampu memecut melebihi 300 km/j.