Suzuki GSX-S125 2020 di pasaran UK, harga £3,599

Jika Suzuki GSX-R125 ialah sebuah sportbike sporty dengan fairing dan bergaya perlumbaan, kembarnya Suzuki GSX-S125 pula ialah sebuah model streetbike yang lincah dan tangkas ketika menyusuri bandar. Lebih dari itu GSX-S125 juga menawarkan tunggangan menyeronokkan di desa, malah bersedia untuk litar pada hujung minggu.

Suzuki GSX-S125 dibekalkan enjin bersesaran 124cc (4-stroke, 1-cylinder, liquid-cooled, DOHC) dengan kelengkapan sistem suntikan bahan api, yang kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan yang lancar. Enjin tersebut menjana prestasi maksimum 15PS @ 10,000rpm dengan tork puncak mencapai 11.50Nm @ 8,000rpm.

Dengan berat hanya 133 kg (kerb mass), Suzuki GSX-S125 dikatakan model naked dengan nisbah kuasa kepada berat dan memiliki pecutan terbaik di dalam kelas 125cc. Untuk pemberhentian yang selamat, GSX-S125 dilengkapi sistem brek ABS dengan cakera depan dan belakang (Petal Brake Discs), manakala suspensi depan teleskopik dan monoshock di belakang menjamin kestabilan sewaktu tunggangan agresif.

Rim aluminium ringan yang menyumbang kepada pengurangan beratnya dipasangkan tayar depan dalam siri 90/80-17M/C, manakala rim belakang dipadankan tayar dalam siri 130/70-17M/C. Selain itu ianya juga dilengkapi dengan teknologi moden, antaranya termasuklah Shutter-Key Lock System dan Suzuki Easy Start System.

Suzuki GSX-S125 model tahun 2020 ini tampil dengan tiga pilihan warna yang menarik iaitu Metallic Matt Fibroin Grey / Solid Black 50% Gloss, Brilliant White dan Metallic Triton Blue. Harga yang ditawarkan di pasaran UK adalah sebanyak £3,599, bersamaan RM 19,546.77 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.