Category: Suzuki DR-Z4S

Suzuki DR-Z4S dan Z4SM muncul di EICMA 2024, Ini bezanya


Suzuki memperkenalkan model baharu DR-Z4S dan DR-Z4SM iaitu motosikal 4 strok generasi baharu DR-Z400 yang akan dilancarkan di beberapa pasaran negara di luar Jepun bermula tahun 2025.

Suzuki DR-Z4S ialah motosikal dual-sport dan DR-Z4SM dikategori sebagai versi supermoto. Dua siri DR-Z4 ini menggunakan enjin dan casis sama tetapi dua model itu ada sedikit perbezaan mengikut karakter masing-masing.

Suzuki DR-Z4S lahir dengan tagline Ready 4 Anything dan dicipta untuk tunggangan di sekitarĀ  bandar, meneroka laluan trail hutan termasuk jalan-jalan di kawasan pedalaman.

DR-Z4SM dengan taglineYour Streets, Your Playground adalah untuk tunggangan di jalan bertar, melayan trek supermoto dan sesuai untuk digunakan secara harian.

Suzuki DR-Z4 mempunyai rekabentuk yang ringkas dan kemas. Lampu depan cuma sebuah projektor yang dikongsi lampu suluh rendah dan tinggi. Lampu signal semuanya capang.

Bentuk badan DR-Z4 nampak ramping untuk bersifat fleksibel dengan membolehkan penunggang bergerak bebas semasa menunggang.

Suzuki DR-Z4 menggunakan enjin 4 strok silinder tunggal kapasiti 398cc DOHC bersama teknologi penyejukan cecair, suntikan petrol (FI) dan pelinciran dry sump.

Saiz gerek dan lejang (bore x stroke) ialah 90mm x 62.6mm dengan kadar nisbah mampatan lebih rendah iaitu 11.1: 1. Enjin dihidupkan menggunakan butang pemula elektrik dan tiada penendang kaki disediakan.

Susun atur enjin silinder sebenarnya sama seperti model lama tetapi Suzuki tetap menambah baik beberapa komponen seperti rekaan kepala silinder baru termasuk kebuk pembakaran.

Komponen ditingkatkan ialah piston baru dan kotak engkol (crankcase) untuk bantu atasi kehilangan mekanikal (kuasa) sehingga 20 peratus.

Injap pengambilan (intake valve) juga baru dan injap ekzos kini mengandungi material sodium untuk membantu mengalih keluar haba yang terhasil melalui proses pembakaran dalam kebuk.

Komponen enjin lain yang ditingkalkan termasuk aci sesondol (camshafts), throttle badan 42mm, ride-by-wire, dua palam pencucuh dan rekaan semula salur masuk kotak angin. Kipas radiator pun sudah dibesarkan untuk menambah baik proses penyejukan enjin.

Untuk kotak gear, Suzuki masih setia dengan lima kelajuan klac manual untuk DR-Z4S dan DR-Z4SM. Tetapi proses menukar gear kini lebih lembut disebabkan adanya Suzuki Clutch Assist System (SCAS) iaitu nama lain untuk sistem klac assist & slipper.

DR-Z4 diberikan tiga jenis mode tunggangan menerusi sistem Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) – Mode A, Mode B dan Mode C.

  • Mode A: Memberi respons paling tepat (tajam) semasa pendikit dibuka dan pecutan yang penunggang inginkan. Sesuai untuk tunggangan agresif dan permukaan jalan baik (berturap).
  • Mode B: Respon pendikit yang lebih lembut dan hantaran kuasa enjin lebih linear semasa memerah throttle. Lebih sesuai di pelbagai gaya tunggangan di permukaan jalan raya.
  • Mode C: Sesuai untuk mereka yang mahu keselesaan dengan tindak balas pendikit minyak dan kuasa tork lebih lembut. Pilihan terbaik semasa menunggang di permukaan jalan longgar dan licin.

Suzuki Traction Control System (STCS) untuk siri DR-Z4 juga ada tiga dengan dua pilihan untuk mode standard, ada juga mode G (Gravel) atau penunggang boleh saja padamkan sistem itu sepenuhnya.

  • Mode G (Gravel) membolehkan tayar tergelincir sedikit semasa menunggang di atas permukaan tidak berturap. Mode ini membenarkan penunggang dapat kawalan dan kuasa yang mereka mahu ketika di trail atau jalan tidak diturap.

Suzuki DR-Z4 dilengkapi sistem brek antikunci (ABS) depan dan belakang tapi boleh dipadamkan mengikut varian.

  • DR-Z4S ialah motosikal pertama Suzuki yang boleh dinyah aktif ABS sepenuhnya. Atau hanya brek cakera belakang.
  • Untuk supermoto Z4SM, hanya brek belakang boleh dimatikan ABS kerana teknologi brek roda depan itu aktif sepenuh masa.

Dua perbezaan lain ialah sistem suspensi dan rim yang ada pada Suzuki DR-Z4S dan Z4SM tetapi boleh dilaras sepenuhnya.

  • Motosikal dua-kegunaan Z4S ditala untuk kestabilan dengan fork USD Kayaba jarak travel 280mm dan monoshock belakang jarak travel 296mm. Rim aluminium multispokes adalah 21 inci depan dan 18 inci belakang dengan tayar IRC GP-410 dual purpose jenis tiub saiz 80/100 (depan) dan 120/89 (belakang).
  • Suspensi Z4SM juga jenama KYB tetapi ditala untuk tindak balas lebih pantas dan sporty. Fork USD memberikan travel lebih pendek 260mm dan monoshock travel 277mm. Rim standard 17 inci dengan tayar tiub Dunlop SPORTMAX Q5A saiz 120/70 (depan) dan 140/70 (belakang).

Tangki minyak berkapasiti 8.7 liter. Saiz motosikal DR-Z4S dan Z4SM ada sedikit perbezaan. Untuk jadikan perbezaan ini nampak mudah, lihat jadual di bawah ini: