
Sudah hampir tiga bulan Suzuki DR-Z 4S dan Suzuki DR-Z 4SM diperkenalkan ke pasaran Malaysia selepas majlis pelancaran di pekarangan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Dua model ini bukan mudah dilihat di jalan raya atau dalam nada bahasa lebih mesra: ‘bukan motosikal kebanyakan. Setiap model ini ada peminat dan pengikut tersendiri.’

Harga badan Suzuki DR-Z 4S dan Suzuki DR-Z 4SM ialah RM42,888 dan ini tidak masuk insurans, cukai jalan dan caj pendaftaran.
Semasa pelancaran, Suzuki Malaysia mengumumkan harga promosi RM39,888 untuk 50 pembeli terawal. Jimat RM3,000!
Mungkin anda masih boleh dapatkan harga tersebut… apa pun kena hubungi Suzuki Malaysia untuk tanya terlebih dulu.
Nama DRZ sudah wujud sejak era Y2K (tahun 2000). Model tahun 2026 ialah jentera generasi baharu yang mendapat banyak peningkatan dari frem sehingga aspek elektronik.
Suzuki DR-Z4S ialah versi enduro manakala Suzuki DR-Z4SM dikategorikan sebagai supermoto.
Sistem trenkuasa membabitkan enjin 4-lejang satu silinder 398cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api, berkuasa 38PS dan tork 37Nm.
Enjin diadun dengan kotak gear klac manual lima kelajuan dengan klac slipper (Suzuki Clutch Assist System -SCAS).
Throttle jenis ride-by-wire (RBW) dan ada tiga mode tunggangan iaitu A,B dan C. Kawalan Cengkaman hadir dan boleh dilaras iaitu 1, 2, Gravel dan boleh dipadamkan.
Meter digunakan jenis LCD dengan paparan serba ringkas tetapi lengkap. Ada indikator kedudukan gear, mode tunggangan dan paras minyak.
Tangki petrol untuk siri Suzuki DR-Z4 adalah 8.7 liter.
Kedua-duanya hadir dengan sistem pencahayaan LED penuh, pelindung bawah enjin dan butang pemula.
Fork terbalik (USD) dua model DR-Z4 ini dibekalkan Kayaba dengan monoshock di belakang. Boleh dilaras mampatan dan lantunan.
Apa Beza DR-Z 4S dan DR-Z 4SM?
Sistem ABS depan-belakang boleh dipadamkan untuk roda belakang untuk model DR-Z 4SM. Untuk model DR-Z 4S, ABS boleh dipadamkan untuk kedua-dua roda.
DR-Z 4S menggunakan rim jenis spoked (jejari) 21 inci (depan) dan 18 inci (belakang). DR-Z 4SM dipasang rim 17 inci depan-belakang jenis spoked.
DR-Z 4S menggunakan brek cakera tunggal 270mm kaliper Nissin 2-piston (depan). DR-Z 4SM dapat saiz cakera lebih besar iaitu 310mm jenis floating.
Brek cakera belakang dua model ini ialah 240mm, kaliper Nissin 1-piston.
Sistem suspensi DR-Z 4S menawarkan jarak gerak 280mm fork depan dan 296mm untuk absober belakang. DR-Z4 SM jarak gerak depan 260mm manakala belakang pula 277mm.
Jarak bumi DR-Z 4S adalah 300mm. DR-Z4 SM pula rendah sedikit iaitu 260mm.
Tinggi tempat duduk DR-Z 4S adalah 920mm. DR-Z4 SM pula 890mm.
Berat kasar DR-Z 4S 151kg. DR-Z4 SM seberat 154kg.
Artikel Berkaitan
- Suzuki DR-Z4S dan Z4SM muncul di EICMA 2024, Ini bezanya
- Suzuki DR-Z4S dan DR-Z4SM sudah tampil di Filipina, akan datang ke Malaysia?

















































