Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Belang R150 2022 bakal dilancarkan secara rasminya dalam suku pertama tahun depan. Namun sebelum itu, apa kata kita lihat dahulu model kembarnya di pasaran Indonesia iaitu Suzuki Satria F150 2022. Dilancarkan kelmarin, model tersebut kini tampil dengan tiga pilihan warna baharu yang lebih sporty iaitu Titan Black, Pearl Bright Ivory – Titan Black, dan Metallic Matte Stellar Blue – Titan Black.
Selain itu, perubahan baharu lain yang diterima oleh model berkenaan ialah di bahagian brek cakera depannya, yang kini dikatakan lebih berprestasi berbanding model tahun sebelumnya. Namun setakat ini tiada maklumat lengkap mengenai perubahan apakah yang telah dilakukan terhadap sistem brek cakera depan itu. Yang pasti menurut Suzuki Indonesia, ianya kini menawarkan tahap keselamatan dan kestabilan yang lebih baik.
Suzuki Satria F150 2022 seterusnya masih mengekalkan spesifikasi teknikal enjin yang sama seperti sebelumnya, iaitu bersesaran 147.3cc dengan satu silinder, sejukan cecair dan DOHC 4-valve, yang menghasilkan kuasa maksimum 18.23hp @ 10,000rpm dan tork maksimum 13.8Nm @ 8,500rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan. Kapasiti maksimum tangki bahan api yang melengkapinya ialah 4.0 liter.
Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi model moped berkelajuan tinggi itu termasuklah sistem 1-Push Electric Starter, panel meter digital, lampu depan LED, dan kelengkapan Security Alarm dan pengecas USB yang tersedia sebagai pilihan aksesori asli. Harga yang ditawarkan pula adalah sebanyak Rp. 26,760,000, iaitu bersamaan RM 7,841.60 sahaja. Untuk pasaran Malaysia, berapa pula agaknya harga yang ditawarkan nanti?





