GPX Malaysia sebentar tadi dengan rasminya mengumumkan ketibaan model sportbike terbaharu GPX Demon GR200R SE 2022, dengan harga jualan RM 11,888.00 sahaja. Model berkenaan sebelum ini dilancarkan di pasaran Thailand dalam bulan September 2021 yang lepas, dalam tiga pilihan warna dan grafik yang cukup menarik dan sporty.
Di pasaran Malaysia, GPX Demon GR200R 2021 pada mulanya dilancarkan pada April 2021 yang lepas. Dengan ketibaan model terbaharu versi 2022 ini, apakah perubahan terkini yang ditawarkan selain daripada perubahan warna dan grafik? Sebenarnya, GPX Demon GR200R SE 2022 mempunyai beberapa naik taraf terkini yang lebih signifikan.
Perubahan pertama ialah enjinnya kini telah dilengkapi dengan ciri empat injap atau 4-valves. Seterusnya, tempat pemijak kakinya juga telah diangkat lebih tinggi berbanding model sebelumnya, untuk prestasi tunggangan yang lebih sporty. Kulit enjinnya pula kini didatangkan dengan warna merah yang terang, casis dengan warna hitam dan kelabu, fork depan berwarna merah dan pelindung ekzos yang kini tampil dengan warna perak.
Apa yang lebih menarik ialah enjin dalam sesaran 198cc (1 cylinder, 4 stroke, SOHC, 4 valves, water cooled, GPX-FI ) pada GPX Demon GR200R SE 2022 kini telah menjana kuasa maksimum yang lebih tinggi iaitu 22hp, bersama-sama jumlah tork yang kini telah meningkat ke paras 19.2Nm. Sebagai perbandingan, GPX Demon GR200R 2021 hanya menawarkan kuasa maksimum sebanyak 19hp, dengan tork puncak setinggi 17.2Nm.
Dengan pertambahan jumlah tork, tempat pemijak kaki yang kini lebih tinggi dan kotak gear enam kelajuan yang lancar, GPX Demon GR200R SE 2022 versi baharu ini sudah tentu akan menawarkan pengalaman tunggangan yang lebih sensasi dan agresif. Ciri-ciri lain yang ditawarkan pada model sport bike berkenaan juga tidak kurang hebatnya.
Antaranya seperti kerangka jenis trellis yang kukuh, meter digital yang bergaya moden, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan jenis upside-down dan suspensi belakang monoshock berjenama YSS (adjustable preload up to 7 levels), rantai DID 428 O-Ring yang tahan lama, dan tayar berprestasi RX-01 ROAD WINNER daripada IRC Tire.
Sistem pemberhentian yang lebih selamat pula diserahkan kepada sistem brek cakera 276 mm di bahagian depan, yang bergandingan dengan brek cakera belakang dengan ukuran 220 mm. Kemudiannya rim berukuran 17 inci dengan rekaan sporty dipadankan bersama-sama tayar depan yang bersaiz 100/80-R17 dan tayar belakang 140/70-R17.
GPX Demon GR200R SE 2022 ini turut dilengkapi tangki petrol dengan kapasiti 11 liter, tinggi tempat duduk pada paras 815 mm dan berat hanya 155 kg (net weight). Dengan pelancaran model sportbike yang sporty dan agresif ini, dan tawaran harga yang boleh dikatakan cukup berpatutan, adakah model ini akan mampu menarik perhatian anda?