Suzuki Belang R150, GSX-S150 dan GSX-R150 kini rasmi akan masuk ke pasaran Malaysia, pada akhir 2021 atau awal 2022

Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. pada kelmarin secara rasminya telah mengesahkan bahawa syarikat tersebut akan melancarkan tiga buah model terbaharu dengan enjin bersesaran 150cc di pasaran tempatan, bermula pada akhir tahun ini atau pada awal tahun depan. Ketiga-tiga model berkenaan ialah Suzuki Belang R150, GSX-S150 dan GSX-R150.

Pengesahan rasmi yang ditunggu-tunggu itu telah diumumkan melalui siaran langsung yang disiarkan di dalam laman Facebook, yang telah dihoskan sendiri oleh Ahmad Faez Yahaya, sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia, bersama-sama Datuk Jeffrey Lim, yang mana beliau ialah Pengarah dan Pengurus Besar Suzuki Malaysia.

Dalam sesi soal jawab yang dijalankan bersama-sama peminat Suzuki tempatan, Datuk Jeffrey Lim mengatakan, ketiga-tiga model tersebut sebelum ini telah dijadualkan untuk dilancarkan pada tahun lepas lagi. Namun pelancaran tersebut terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik Covid 19 dan masalah kekurangan bekalan cip di seluruh dunia.

Paling menarik sewaktu sesi soal jawab berlangsung, Suzuki Malaysia telah mengambil peluang menayangkan ketiga-tiga model tersebut iaitu Suzuki Belang R150, GSX-S150 dan GSX-R150, sebagai bukti bahawa model-model tersebut telah pun berada di kilang Suzuki Malaysia dan hanya menunggu masa untuk dipasang, seterusnya dilancarkan.

Jadi kepada semua peminat motosikal Suzuki di pasaran Malaysia, pelancaran ketiga-tiga model berkenaan pastinya akan memberikan kepuasan yang tersendiri. Untuk anda yang mungkin meminati model moped, Belang R150 adalah jawapannya. Bagi peminat model naked dan sport bike pula, sudah pasti akan memilih GSX-S150 dan GSX-R150.