Suzuki baru-baru ini telah memperkenalkan pilihan warna baharu untuk model kembara Suzuki V-Strom 650 2022 dan Suzuki V-Strom 650XT 2022 di pasaran Eropah. Bagi model V-Strom 650, ianya kini ditawarkan dua pilihan warna terbaharu Pearl Vigor Blue dan Glass Sparkle Black, bersama-sama pilihan warna terdahulu Pearl Brilliant White.
Suzuki V-Strom 650XT pula kini menerima dua pilihan warna baharu Pearl Vigor Blue / Metallic Matt Sword Silver dan Glass Sparkle Black, dengan padanan rim lidi berwarna biru. Dua pilihan warna terdahulu Champion Yellow No.2 dan Pearl Brilliant White masih lagi ditawarkan untuk musim 2022, yang dipadankan dengan rim lidi berwarna emas.
Kedua-dua model V-Strom 650 2022 dan V-Strom 650XT 2022 dikuasakan enjin 645cc V-Twin yang telah terbukti prestasinya, dan turut dilengkapi traction control, Suzuki easy start system dan low RPM assist. Untuk varian XT, ianya menggunakan rim lidi sebagai alternatif yang lebih ringan, dan ditambah ciri standard hand guards dan lower cowling.
Untuk pasaran tempatan, Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. kini menawarkan model Suzuki V-Strom 650XT 2021, dengan harga jualan asas sebanyak RM 37,989.00 sahaja. Ianya merupakan produk CBU yang diimport sepenuhnya dari Jepun, dan didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Champion Yellow dan Candy Daring Red / Glass Sparkle Black.








